Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) banyak melabur dalam pelaburan yang mampu memberi pulangan tetap kerana ia penting bagi memastikan KWSP memperoleh pulangan lebih 50 peratus daripada apa yang dilaburkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata ia juga bertujuan melindungi nilai simpanan ahli dan pelanggan serta memastikan pulangannya sentiasa stabil dan konsisten bagi tempoh jangka panjang.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Abdul Khalid Samad di Parlimen hari ini.

Mengenai jumlah pembiayaan KWSP kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sehingga Mac lalu, KWSP sudah mengeluarkan pembiayaan RM79.99 bilion.

Beliau berkata, pembiayaan kumpulan dana pencen terbesar di Malaysia itu adalah dalam bentuk pinjaman berkadar tetap, langganan bon/sukuk, bersandarkan jaminan kerajaan, cagaran aset dan jaminan bank.

Najib berkata, daripada RM79.9 bilion itu, pelaburan KWSP dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah terhad kepada RM200 juta pinjaman dengan jaminan kerajaan.

Pendedahan pembiayaan kepada pembinaan PFI Sdn Bhd adalah bernilai RM25.29 bilion bersandarkan pajakan sewa aset oleh kerajaan.

Bagaimanapun, KWSP tidak memberi sebarang kemudahan pinjaman kepada Felda Global Venture Berhad (FGV).