Penubuhan HLSCC angkat hubungan Malaysia-Turkiye ke peringkat tertinggi - PM Anwar

Hubungan Malaysia–Turkiye kini melonjak ke tahap paling tinggi dalam sejarah dua negara selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Recep Tayyip Erdogan bersetuju menubuhkan High-Level Strategic Cooperation Council. - Foto BERNAMA
ISTANBUL: Hubungan Malaysia–Turkiye kini melonjak ke tahap paling tinggi dalam sejarah dua negara selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Recep Tayyip Erdogan bersetuju menubuhkan High-Level Strategic Cooperation Council (HLSCC).
Ringkasan AI
- Berdasarkan perjanjian antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Recep Tayyip Erdogan, Malaysia dan Turkiye telah bersetuju menubuhkan High-Level Strategic Cooperation Council (HLSCC) sebagai mekanisme kerjasama strategik yang langka.
- Penubuhan HLSCC dianggap sebagai langkah penting dalam meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye, dengan fokus kepada bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan tinggi, penyelidikan, teknologi, penerbangan, kecerdasan buatan, tenaga, dan nadir bumi.
- Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye turut disertai dengan penghargaan tertinggi The Order of the Republic (Turkiye), mencerminkan penghormatan dan hubungan bersejarah antara kedua-dua negara sejak zaman Empayar Uthmaniyah dan Kesultanan Melayu.
“HLSCC ini satu permulaan yang menarik kerana tak banyak negara kita adakan hubungan dua hala seperti itu. Dan majlis peringkat tinggi ini mesti dipengerusikan bersama oleh Presiden Erdogan dan saya.
“Tentu urusan seterusnya dilaksanakan menteri-menteri yang akan bertanggungjawab melaksanakan urusan penting yang strategik mengangkat hubungan antara dua negara dengan tumpuan terhadap pelaburan, perdagangan.
“Dan juga hubungan strategik dalam pelbagai bidang seperti pendidikan tinggi, penyelidikan, juga masuk beberapa displin dan teknologi baru termasuk penerbangan, kecerdasan buatan, bidang tenaga dan juga nadir bumi,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia sempena hari terakhir lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye yang bermula pada 6 Januari lepas.
Perdana Menteri, yang diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berada di Ankara dan Istanbul atas jemputan rasmi Presiden Erdogan.
Dalam pada itu, Anwar sekali lagi menzahirkan penghargaan terhadap anugerah The Order of the Republic (Turkiye), satu penghormatan tertinggi yang diberikan kepada pemimpin yang berjaya mengukuhkan hubungan dua hala dengan republik itu.
Sambil menyifatkan ia adalah penghormatan kepada Malaysia, Perdana Menteri berkata, hubungan yang terjalin telah bermula sejak Empayar Uthmaniyah dan Kesultanan Melayu, termasuk hubungan Sultan Johor dan Sultan Kedah yang terekod dalam sejarah.
“Saya juga ucap terima kasih, bagi pihak rakyat (Malaysia), kerana anugerah Order of the Republic ini sekali lagi satu penghargaan kepada negara dan saya nyatakan penghargaan saya kerana jasa ini, jasa yang telah dicurahkan oleh pemimpin-pemimpin sejak berabad dahulu,” jelasnya.
Anwar merumuskan bahawa lawatan beliau kali ini telah memperlihatkan penghormatan luar biasa daripada Turkiye, dari protokol, anugerah negara dan sambutan rakyat, yang jelas mencerminkan kedudukan Malaysia di mata Ankara.
“Tidak semua negara, apalagi negara sedang membangun seperti kita, diberi penghormatan luar biasa seperti ini,” kata beliau.
Anwar berkata, HLSCC kini menjadi tonggak utama yang dijangka membuka ruang baru kerjasama ekonomi, teknologi, pendidikan, keselamatan dan industri strategik antara Malaysia dan Turkiye dalam dekad mendatang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


