Tempoh had PM: Selagi layak, dia boleh jalankan tugas - Hadi Awang

Abdul Hadi berkata, seseorang pemimpin boleh terus menyandang jawatan Perdana Menteri selagi layak untuk menjalankan tugas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatan Perdana Menteri boleh terus disandang selagi seseorang itu layak untuk menjalankan tugas, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ahli Parlimen Marang itu mengambil contoh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih berkhidmat walaupun sudah berusia, sebelum ini.
“Dalam Islam selagi orang itu layak, dia boleh jalankan tugas… macam Tun Mahathir dia (sudah) 100 tahun tapi tidak apa, dia boleh khidmat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di Marang, Terengganu hari ini.
Abdul Hadi berkata demikian susulan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menetapkan tempoh had jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.
Namun ada dalam kalangan penganalisis berpendapat cadangan tersebut melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan akan bertemu ketua-ketua parti untuk mendapatkan sokongan pindaan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


