Skip to main content

Malaysia

Penubuhan setiap sekolah tertakluk kepada Akta Pendidikan

ALOR SETAR,5 April -- Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh ketika sidang media mengenai insiden dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang ditemukan lemas semasa melakukan aktiviti berkayak, di Hospital Sultanah Bahiyah hari ini.  Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, dua pelajar IPG tersebut ditemukan meninggal dunia akibat lemas ketika melakukan aktiviti itu di Pantai Merdeka.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Wong Kah Woh (foto) berkata Kementerian Pendidikan sentiasa memantau pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang berkaitan pendidikan bagi memastikan setiap institusi yang menawarkan pembelajaran beroperasi mengikut ketetapan yang ditetapkan. -Gambar fail/Bernama

IPOH: Sebarang penubuhan sekolah di negara ini adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Pendidikan dan tidak boleh beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa berkaitan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan sentiasa memantau pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang berkaitan pendidikan bagi memastikan setiap institusi yang menawarkan pembelajaran beroperasi mengikut ketetapan yang ditetapkan.

“Sebarang penubuhan sekolah adalah tertakluk di bawah Akta Pendidikan, dan sudah tentu setiap penubuhan sekolah tidak boleh dibuat tanpa sebarang kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aspirasi Kecemerlangan Akademik ke-69 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria Convent, di sini, hari ini.

Wong berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengenai kewujudan sebuah sekolah yang dikendalikan komuniti Rohingya di Kuala Terengganu.

Justeru, beliau berkata berhubung perkara itu kementerian akan menyerahkannya kepada pihak yang berkenaan.

Media semalam melaporkan kewujudan sebuah sekolah yang dipercayai beroperasi untuk komuniti etnik Rohingya di Kampung Ladang Titian di Kuala Terengganu mencetuskan kebimbangan serta rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk setempat sejak Februari lepas.

Terdahulu, Wong meraikan 75 pelajar sekolah berkenaan yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, termasuk 37 pelajar yang meraih keputusan 10A hingga 12A.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan komitmen warga pendidik, Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pelajar dalam meningkatkan prestasi akademik sekolah.

Dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan khas RM50,000 daripada Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan kepada sekolah berkenaan bagi melaksanakan projek yang akan dicadangkan oleh pelajar sendiri.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement