PUTRAJAYA: Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar rayuan yang dikemukakan seorang wanita berusia 37 tahun yang mendakwa penukaran agamanya kepada Islam pada 1991 ketika berusia empat tahun atas alasan selepas ibunya memeluk Islam, adalah terbatal dari awal.

Wanita itu yang diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar berhujah penukaran agama wanita itu kepada Islam melanggar Seksyen 147 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor 1952, undang-undang berkaitan yang berkuat kuasa pada masa itu, yang melarang penukaran agama kanak-kanak kepada Islam.

Beliau berkata memandangkan negeri melarang kanak-kanak daripada memeluk Islam, penukaran agamanya adalah batal dan beliau tidak pernah beragama Islam.

Oleh itu, sebarang perintah atau keputusan mahkamah yang dibuat oleh Mahkamah Syariah tidak terpakai kepadanya kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kesnya, hujah Malik kepada panel hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais hari ini.

Malik berkata bapa wanita itu seorang penganut agama Hindu dan ibunya penganut Buddha yang memeluk Islam untuk berkahwin dengan lelaki beragama Islam selepas bercerai pada 1991.

Beliau berkata ibu kanak-kanak itu juga mengesahkan dalam afidavit bahawa bapa kanak-kanak itu, yang meninggal dunia pada Mac 1996, tidak pernah bersetuju dengan penukaran agama anak perempuan mereka.

Malik berkata pada mulanya, anak guamnya pergi ke Mahkamah Syariah dalam usaha untuk mendapatkan perisytiharan bahawa dia bukan seorang Islam selepas membaca laporan mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy.

Pada 12 Dis 2013, wanita itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam. Pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya dan Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017.

Wanita itu kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi sivil memohon perisytiharan bahawa beliau bukan individu yang menganut agama Islam, selain menamakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri Selangor sebagai responden.

Pada 21 Dis 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman wanita itu dan mengisytiharkan bahawa beliau bukan seorang Islam tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 pada 13 Jan tahun lepas berikutan rayuan oleh MAIS dan kerajaan negeri Selangor.

Wanita itu diberi kebenaran untuk meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan pada 23 Mei tahun lepas atas enam soalan perundangan dan Mahkamah Persekutuan menetapkan hari ini untuk mendengar rayuannya.

Mahkamah hanya mendengar hujah Malik hari ini dan menangguhkan pendengaran ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian bagi membolehkan peguam yang mewakili MAIS dan kerajaan negeri Selangor memfailkan hujahan bertulis tambahan dan peguam wanita itu menjawab hujah tambahan itu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda bertindak bagi MAIS dan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid mewakili kerajaan negeri Selangor.

-- BERNAMA