BESUT: Penularan COVID-19 khususnya di daerah Besut ketika ini sangat membimbangkan, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus.

Jelasnya, sejak pendemik COVID 19 bermula di negeri itu, sebanyak 1,094 kes positif telah dilaporkan melibatkan daerah Besut sahaja.

Katanya, kluster paling besar yang telah dikesan sehingga ini ialah Kluster Tok Has dan Kluster D’Lahar.

Menurutnya, Kluster Tok Has melibatkan 180 orang manakala Kluster D’Lahar pula melibatkan 151 orang dan dibimbangi akan merebak ke daerah yang lain.

“Kalau kita lihat dari segi peningkatan kes, dan kalau kita bandingkan antara kes pada bulan April sehinggga Mei, kita dapati peningkatan yang sangat tinggi iaitu melebihi 800 peratus.

“Sebab dulu sebelum ni kita ada 60 kes, dan sekarang kita ada lebih kurang 500 lebih kes. (Jadi) ia memang peningkatan sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Nor Azimi turut meluahkan kebimbangan kerana jangkitan itu telah menular jauh dalam komuniti dan sebanyak 15 mukim di Besut telah merekodkan jangkitan.

Jelasnya Mukim Pelagat dan Mukim Kampung Raja antara yang teruk terjejas.

Justeru, beliau meminta semua pemimpin masyarakat supaya memainkan peranan untuk sama-sama mengawal penularan ini.

Katanya jika tidak dikawal dan dicegah dengan cepat pelbagai kemungkinan akan berlaku termasuk berdepan dengan kluster COVID-19 yang lebih besar di daerah tersebut.