KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM 35 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata siasatan awal mendapati kesemua kenderaan itu dari arah Machang menghala ke bandar raya ini.

Beliau berkata kemalangan berlaku kira-kira 7.30 malam apabila motosikal jenis EX5 ditunggangi lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai bergerak dari lorong kiri jalan, sebelum membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan kereta Proton Iswara berada di belakang tidak sempat mengelaknya.

"Susulan itu, Proton Iswara itu telah merempuh motosikal berkenaan, diikuti kereta Proton Saga yang turut merempuh motosikal mangsa yang menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ujian air kencing terhadap pemandu Proton Iswara mendapati dia positif terhadap ketum dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Machang.

Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yan mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairulanwar Adam menerusi talian 011-10085165 atau Bilik Gerakan IPD Machang 09-9751222 untuk membantu siasatan.

--BERNAMA