IPOH: Seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Gopeng - Simpang Pulai, dekat sini, hari ini.

Mangsa, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada pukul 11.56 pagi.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori 10 tayar dengan muatan batu dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y150,” kata jurucakap itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, mangsa tersepit di bawah lori di belakang sebelah kiri.

“Bomba meminta pemandu lori tersebut untuk mengundurkan kenderaannya bagi mengeluarkan mangsa,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hazuraimi Iskandar Harun tamat pukul 1.11 tengah hari.