Pendengaran akhir prosiding bekas Presiden Korea Selatan hari ini

Yoon didakwa mencabul Perlembagaan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera secara tidak sah dan tidak berperlembagaan, meskipun tiada perang atau darurat negara. - Gambar fail AP
SEOUL: Mahkamah Daerah Pusat Seoul hari ini mengadakan pendengaran terakhir dalam prosiding undang-undang terhadap bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol yang berdepan pertuduhan jenayah susulan pengisytiharan undang-undang tentera secara singkat pada 3 Disember 2024.
Pada prosiding berkenaan, pihak pendakwaan khas dijangka mengemukakan permohonan hukuman terhadap Yoon, sekali gus menandakan usaha rasmi pertama untuk mengenakan tindakan perundangan ke atas bekas Presiden itu berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang berkuat kuasa selama kira-kira enam jam.
Pendengaran bermula pada 9.30 pagi di Seoul Central District Court, dipengerusikan oleh Hakim Jee Kui-youn.
Mahkamah kini meneliti bukti berkaitan kes tersebut, manakala lapan tertuduh dijangka menyampaikan kenyataan akhir masing-masing.
Antara yang turut didakwa ialah bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun; bekas Ketua Agensi Polis Kebangsaan, Cho Ji-ho serta beberapa pegawai kanan tentera dan polis yang didakwa terlibat dalam tindakan yang disifatkan sebagai pemberontakan.
Prosiding akhir ini sepatutnya berlangsung pada Jumaat lalu, namun ditangguhkan selepas Kim Yong-hyun mengambil masa lebih lapan jam untuk meneliti dokumen bukti bertulis, jauh melebihi tempoh kebiasaan sekitar satu jam bagi tertuduh lain.
Situasi itu mencetuskan kritikan bahawa penangguhan tersebut merupakan taktik melengah-lengahkan perbicaraan.
Peguam Kim sebelum ini dilaporkan menyatakan pasukan pembelaan telah “melakukan apa yang perlu dilakukan”, termasuk memperoleh satu hari penuh untuk pasukan peguam Yoon membentangkan hujahan mereka.
Peguam Yoon pula memaklumkan mereka memerlukan antara enam hingga lapan jam untuk semakan bukti dan hujahan akhir.
Dalam satu kes berasingan bulan lalu berkaitan penentangan Yoon terhadap penahanannya, bekas presiden itu mengambil lebih satu jam untuk menyampaikan kenyataan akhir, manakala pendakwaan ketika itu menuntut hukuman penjara 10 tahun.
Mahkamah bagaimanapun menegaskan, pendengaran hari ini adalah yang terakhir dan tidak akan ditangguhkan lagi.
Yoon didakwa mencabul Perlembagaan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera secara tidak sah dan tidak berperlembagaan, meskipun tiada perang atau darurat negara.
Beliau juga berdepan pertuduhan cuba menahan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan secara menyalahi undang-undang.
Di bawah undang-undang Korea Selatan, kesalahan memimpin pemberontakan boleh membawa hukuman penjara seumur hidup, dengan atau tanpa kerja paksa, atau hukuman mati.
Sebelum ini, bekas Presiden Chun Doo-hwan dijatuhi hukuman mati pada 1996 atas kesalahan sama, namun diberikan pengampunan setahun kemudian.
Penggantinya, Roh Tae-woo, yang turut didakwa, dihukum penjara seumur hidup sebelum turut menerima pengampunan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


