TELUK INTAN: Seorang lelaki warga tempatan yang juga penuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) ditahan bersangkut kes samun kedai telefon di Kompleks Menara Condong Teluk Intan 3 April lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, suspek berusia 21 tahun itu berjaya ditahan di sebuah kondominium Jalan Perda Barat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kelmarin (13 Jun).

Katanya lagi, dengan tertangkapnya suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan kes samun di dalam kedai menjual telefon di kompleks berkenaan yang membabitkan kerugian sebanyak RM300,000.

"Melalui serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak bersama cawangan D8 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, telah berjaya menangkap suspek dan merampas barangan.

"Ia membabitkan 23 unit telefon bimbit jenis iPhone, satu unit jam tangan Apple Watch, satu unit iPad, dua pen tablet jenama Samsung, wang tunai RM853.

"Satu bag pakaian, sebuah kereta jenis Proton Wira warna merah, satu keping kad touch n go dan satu kunci kereta," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata, suspek masih bujang dan tidak bekerja serta masih lagi menuntut di salah sebuah IPT di Pulau Pinang.

"Suspek juga didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah dan ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya dapati negatif.

"Soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes ini bersendirian. Dia ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga 17 Jun (Sabtu) bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Polis Hilir Perak memburu suspek yang melarikan kira-kira 70 unit telefon pintar iPhone bernilai hampir RM300,000 dalam kejadian samun di Kompleks Menara Condong Teluk Intan.

Ahmad Adnan berkata dalam kejadian pada 2 pagi itu, seorang pengawal keselamatan di kompleks perniagaan tersebut cedera ditetak dengan kapak oleh suspek dan diikat di dalam tandas, sebelum suspek memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi dan melarikan telefon bimbit di rak pameran.