Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dalam sebuah kenyataan rasmi hari ini mengalu-alukan keputusan penurunan tarif elektrik oleh Kementerian Tenaga, Teknologi HIjau dan Air (KeTTHA).

Walau bagaimanapun, berpendapat bahawa pengurangan sebanyak 2.25 sen per jam kilowatt (kWh) di Semenanjung dan 1.20 sen/kWh di Labuan dan Sabah, yang hanya berkadar 5.8 peratus dari 1 Mac hingga 30 Jun 2015 adalah tidak signifikan.

“Kami di FOMCA sebenarnya melihat kadar penurunan sebanyak 10 peratus pada tarif elektrik purata berdasarkan harga minyak antarabangsa dan kami mendesak agar penurunan 10 peratus dapat dikuatkuasakan sepanjang tahun.

“Tempoh tiga bulan adalah terlalu pendek untuk kita melihat kesannya dan untuk diadaptasi oleh perniagaan. Untuk melihat penjimatan yang sebenar bagi rakyat, pelaksanaan tarif baharu selama tiga bulan adalah tidak mencukupi,” kata kenyataan media tersebut.


FOMCA menggesa kerajaan untuk mendedahkan harga sebenar semasa untuk pengeluaran 1kWh elektrik berdasarkan kos sebenar dan bagaimana 5.8 peratus itu diperoleh.

FOMCA juga mahukan maklumat tentang jumlah penjimatan yang boleh dicapai oleh pengguna berdasarkan penurunan tarif tersebut serta sejauh mana harga barangan akan turut mengalami penurunan.

Sebuah petisyen telah dilancarkan untuk mendesak kerajaan Malaysia menurunkan lagi tarif elektrik sehingga 10 peratus selain menguatkuasakan tarif baharu itu sepanjang tahun 2015.

Sasaran persetujuan sejuta orang diperlukan untuk mencapai sokongan dalam usaha menurunkan harga barang dengan berkesan.

Petisyen tersebut boleh dilayari di https://www.change.org/p/energy-commission-of-malaysia-reduce-electricity-tariff-in-malaysia