PUTRAJAYA:Setakat ini kerajaan hanya memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang peka dengan kebimbangan ibu bapa di kawasan lain yang tidak terbabit dengan penutupan sekolah, memberi jaminan Kementerian Pendidikan sentiasa memantau keadaan COVID-19 di sekolah di seluruh negara.

“Jika ada sebarang kes COVID-19 melibatkan warga sekolah, Kementerian Pendidikan akan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menanganinya.

“Dalam hal ini, KKM akan memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid, guru dan kakitangan sekolah.

“Jika perlu, keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 setelah menerima nasihat daripada KKM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perutusan Khas Situasi Semasa COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi beliau pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menegaskan sekiranya terdapat keperluan untuk menyekat pergerakan rentas negeri, Sidang Khas MKN akan berbincang dan membuat keputusan mengenainya.

“Saya memberi jaminan notis yang mencukupi akan diberikan kepada orang ramai sebelum sebarang keputusan dilaksanakan supaya tidak ada sesiapa yang terkandas.

“Kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk menghadkan majlis dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan wabak COVID-19.

“Ini termasuk persidangan besar, kenduri kahwin serta majlis perhimpunan orang ramai,” ujarnya.

Bagitupun, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mendapatkan input daripada KKM terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk cadangan mengadakan SOP tambahan jika perlu.