Beberapa seksyen terpilih di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) akan ditutup sementara bermula 11 malam pada 1 Ogos hingga 10 pagi, 2 Ogos bagi memberi laluan kepada penganjuran acara IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026.
Penutupan di Lebuhraya NPE melibatkan laluan dari KM1.8 di Bulatan Kewajipan (Subang Jaya) hingga KM11 menghala ke Bangsar bagi kedua-dua arah serta dari persimpangan Kuchai Lama di KM17 hingga Plaza Tol Pantai Dalam bagi kedua-dua arah.
Di Lebuhraya Besraya pula, laluan yang terlibat ialah dari persimpangan Kuchai Lama hingga Jalan Pandan 1 di KM21.9 menghala ke Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bagi kedua-dua arah.
Ketua Pegawai Eksekutif Besraya dan NPE Chua Lay Hoon berkata penutupan sementara laluan itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.
Justeru, beliau menasihati pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan sementara laluan bagi mengelak sebarang kesulitan.
“Petugas pengurusan trafik, anggota PDRM dan pasukan teknikal akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik sepanjang acara bagi memastikan keselamatan peserta serta kelancaran pengurusan trafik.
“Semua peserta dan orang ramai yang hadir disarankan supaya merancang perjalanan masing-masing serta tiba lebih awal pada hari acara,” katanya dalam kenyataan.
Maklumat mengenai laluan alternatif akan dikongsikan melalui platform media sosial rasmi Besraya dan NPE
Acara itu dianjurkan bersama oleh Besraya (M) Sdn Bhd dan New Pantai Expressway Sdn Bhd, anak syarikat IJM Corporation Berhad bersama Allianz Malaysia Berhad.
Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai acara itu, ikuti platform media sosial rasmi Instagram @ijm_highway_run dan Facebook IJM Allianz DUO Highway Challenge Run.
-- BERNAMA