SHAH ALAM: Secara umumnya stres sering dikaitkan dengan penyakit mental, namun ramai tidak sedar bahawa terdapat risiko penyakit lebih kronik yang boleh membawa maut melibatkan serangan tisu badan manusia yang boleh menggagalkan fungsi organ-organ tubuh penting iaitu penyakit autoimun.

Pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, penyakit autoimun jarang dibincangkan kerana ia bukan penyakit popular dengan nisbah satu setiap sejuta orang di dunia akan menghidapinya.

Meskipun begitu, setiap individu berdepan risiko terkena penyakit tersebut disebabkan faktor emosi dan stres merupakan salah satu punca yang menyumbang kepada masalah autoimun selain faktor genetik, menjadikannya sebagai penyakit yang sukar dirawat dan dikawal.

“Masalah autoimun terjadi apabila sistem imunisasi tubuh manusia sepatutnya melindungi tubuh dengan menyerang kuman dalam badan, ‘berpaling tadah’ dengan menyerang tisu-tisu dalam badan yang boleh memberi kesan terhadap semua bahagian badan termasuk sendi, hati, paru-paru, buah pinggang, otak, dan jantung seterusnya memberi risiko kematian.

“Rawatan untuk sembuh sangat mustahil sebab sistem pertahanan badan itu dihasilkan oleh badan kita sendiri. Tak ada cara untuk menghentikan penghasilan sistem imun yang menyerang badan kita selain rawatan untuk mengurangkan kesan serangan ke tahap maksimum.

“Selama ini masyarakat mungkin fikir mereka berisiko penyakit kronik atas faktor genetik semata-mata, tetapi keadaan stres juga boleh mengeruhkan keadaan autoimun apabila banyak imun yang terhasil, maka banyak sistem imun yang menyerang anggota badan,” katanya.

Beliau menjelaskan, hanya dua kaedah rawatan spesifik bagi mengurangkan serangan autoimun dalam tubuh iaitu pengambilan steroid dan pertukaran plasma yang merupakan salah satu komponen dalam darah individu lain.

Katanya, pesakit autoimun perlu mengambil steroid seumur hidup dengan tempoh dan dos disarankan oleh pakar.

“Namun pengambilan steroid yang berterusan mempunyai kesan sampingan yang lain. Jadi pakar yang merawat perlu mempertimbangkan untuk menentukan kadar steroid yang diambil, berapa lama serta dos yang perlu dikurangkan atau ditambah kemudian.

“Selain itu dengan rawatan pertukaran plasma mampu mengurangkan kebergantungan pesakit kepada steroid namun tetap berisiko kerana bimbang berlaku jangkitan,” katanya.

Tambah beliau lagi, rawatan pertukaran plasma memerlukan bekalan plasma secukupnya disebabkan ia perlu dilakukan secara kerap, bukan sekali sahaja sebab badan pesakit akan sentiasa menghasilkan sistem imun mereka. - Sinar Harian