Persidangan khas akan diadakan pada minggu kedua Ogos ini bagi memperhalusi isu berhubung cadangan pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata beberapa agensi dan jabatan kerajaan berkaitan akan menyertai persidangan khas itu bagi mengkaji dengan teliti aspek teknikal yang menjadi menghalang pelaksanaan cadangan itu sebelum ini.

"KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) serta jabatan yang berkaitan akan berbincang dan mencari jalan terbaik bagaimana hendak melaksanakannya, memang ada beberapa isu teknikal seperti Seksyen 51 Akta KWSP dan Akta Kerja 1955 yang menjadi kekangan dalam hal ini.

"Selain itu kita akan kaji cara untuk tangani Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang tidak membenarkan caruman daripada ahlinya dipindahkan dan kita akan minta pandangan Kementerian Kewangan kerana pelaksanaanya juga melibatkan dana kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena program Lawatan Turun Padang Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, hari ini yang juga lawatan kali pertama Dr Wan Azizah ke Pahang selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Fazari Salleh.

Peruntukan di bawah Seksyen 51 Akta KWSP menyatakan tiada amaun yang boleh diserahkan, dipindahkan, kena ditahan, disekuesterkan, dilevikan ke atasnya, bagi, atau berkenaan dengan, apa-apa hutang atau tuntutan apa jua pun.

Malah Pegawai Pemegang Harta tidaklah berhak kepada atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas apa-apa jumlah wang atau amaun.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menzahirkan kebimbangan dengan masalah penyakit mental di negara ini yang kurang mendapat perhatian sedangkan ia merupakan satu perkara serius.

"Masalah ini perlu diketengahkan serta diberi perhatian yang serius, jangan hanya apabila berlaku sesuatu tragedi sehingga mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak, baru kita nak bertindak.

"Kita perlu atasinya daripada peringkat akar umbi lagi dan beberapa kementerian yang berkenaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan perlu bekerjasama kerana persekitaran juga menjadi penyumbang kepada masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kes seorang ibu yang mengelar leher anaknya lelakinya berusia 19 bulan yang berlaku di Felda Jengka 13, Maran baru-baru yang dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

BACA: Kelar anak: 'Suspek kerap termenung, dengar bisikan' - Suami

BACA: Kanak-kanak maut dikelar ibu kandung

BACA: Suri rumah didakwa bunuh anak di Felda Jengka 13


Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang terkini melaporkan setiap tiga orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 menderita pelbagai isu kesihatan mental dan ia dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar rakyat di negara ini selepas penyakit jantung.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bilangan kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak di negara ini dilaporkan meningkat hampir setiap tahun.

Katanya terdapat 4,453 kes bagi tahun 2015 dan jumlah itu meningkat sebanyak 529 kes kepada 4,982 kes pada tahun 2016 dan pada tahun lepas sahaja sebanyak 5,422 kes telah dilaporkan berlaku.

"Penganiayaan dan penderaan kanak-kanak perlu dilihat sebagai pelanggaran hak kanak-kanak dan menjadi tanggungawab semua untuk membendungnya daripada terus berlaku demi kepentingan dan keselamatan mereka pada setiap masa,"katanya.

-- BERNAMA