MALAYSIA
Penyaluran bantuan RM100 melalui MyKad jamin ketelusan dan manfaat maksimum - Teo

Teo berkata peningkatan peruntukan program Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta tahun ini, membolehkan lebih ramai rakyat memperoleh barangan asas pada harga rendah. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Penyaluran bantuan RM100 secara sekali beri menerusi MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), merupakan pendekatan bersasar yang memastikan bantuan disampaikan secara langsung kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Ringkasan AI
- Bantuan one-off disalurkan kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas untuk pembelian barangan asas secara bersasar dan mengelakkan perbelanjaan tidak berfaedah.
- Dana dinaikkan kepada RM600 juta bagi tahun 2025, membolehkan lebih ramai golongan B40 menikmati keperluan asas pada harga rendah.
- Harga RON95 ditetapkan RM1.99 seliter sebagai langkah mengekang penikmatan subsidi oleh warga asing serta membantu isi rumah Malaysia.
"Jadi apabila bantuan ini disalurkan melalui MyKad, saya rasa ia boleh dimanfaatkan seluruh warga Malaysia yang mencapai umur 18 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.
Teo mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai inisiatif berkenaan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, yang turut melibatkan peruntukan RM2 bilion dan bakal memberi manfaat kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia.
Teo berkata peningkatan peruntukan program Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta tahun ini berbanding RM300 juta sebelum ini, membolehkan lebih ramai rakyat khususnya golongan B40 memperoleh barangan asas pada harga rendah.
"Harga barang memang sangat murah, sebagai contoh saya baru pergi Jualan Rahmah di kawasan saya hujung minggu lepas dan mi segera hanya dijual pada RM3.70, sedangkan di pasar raya sekarang harganya sekurang-kurangnya RM4 ke atas, kadang-kadang sampai RM5.
"Pada Jualan Rahmah kita nampak harga telur, mi segera dan banyak barang keperluan asas dijual pada harga sangat rendah. Jadi saya percaya penggandaan program ini boleh membawa kebaikan kepada lebih banyak penduduk di kawasan B40," katanya.
Beliau turut menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung penetapan harga RON95 pada RM1.99 seliter yang dijangka dilaksanakan melalui mekanisme penyasaran subsidi bahan api.
"Harga minyak yang akan ditetapkan pada harga RM1.99, ini juga merupakan satu berita yang bagus untuk semua warga Malaysia kerana ia akan membezakan harga minyak yang dinikmati oleh warga Malaysia dan warga asing.
"Jadi warga asing tidak sepatutnya menikmati minyak yang disubsidikan kerajaan kita. Semua rakyat Malaysia akan menikmati kebaikan melalui pengumuman yang disampaikan Perdana Menteri," katanya.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat, termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program SARA, penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami