LONDON: Penyampai berita ternama BBC, Huw Edwards yang tidak bersiaran sejak tahun lalu telah meletakkan jawatan kerana masalah kesihatan, kata stesen televisyen Britain itu pada Isnin.

Pada 2023, Edwards menghadapi dakwaan membayar seorang anak muda beribu-ribu pound untuk gambar seksual yang eksplisit.

Edwards, 62, merupakan penyampai berita BBC yang memperoleh bayaran tertinggi dan sangat masyhur di Britain melabuhkan buletin "BBC News at Ten" selama lebih dua dekad mengendalikannya.

Beliau memperoleh pendapatan dalam kumpulan hingga 439,999 pound (RM2.65 juta).

Edrward merupakan personaliti BBC yang mengumumkan kemangkatan Ratu Elizabeth kepada negara pada 2022 selain mengetuai liputan beberapa acara terbesar Britain, termasuk pilihan raya, perkahwinan diraja dan Sukan Olimpik 2012.

"Selepas 40 tahun berkhidmat, Huw telah menjelaskan bahawa keputusannya dibuat berdasarkan nasihat perubatan daripada doktornya," kata BBC dalam satu kenyataan.

"BBC telah menerima peletakan jawatannya yang dipercayai akan membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan. Kami tidak percaya wajar untuk mengulas lanjut."

Kontroversi Edwards mula apabila akhbar tabloid Sun melaporkan seorang penyampai BBC terkemuka telah membayar seorang individu muda 35,000 pound (RM211,000) untuk gambar eksplisit selama tiga tahun, bermula ketika individu itu berusia 17 tahun.

BBC dalam tindak balasnya menggantung penyampai berkenaan tetapi tidak menamakannya.

Edwards, yang mempunyai lima anak, mula berkhidmat dengan BBC sejak 1984.