NATIONAL
Penyanyi dan komposer Yasin dibebaskan penjara seumur hidup, 16 sebatan

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Muhammad Yasin, 49, daripada ketiga-tiga pertuduhan. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman, 50, hari ini dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga diperkenankan Sultan Selangor.
Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel hakim diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dimohon Yasin.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin yang melepas dan membebaskan Yasin.Bapa kepada dua orang anak itu dilaporkan mengemukakan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Ogos tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Penyanyi lagu ‘Mimpi Laila’ dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan untuk kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.
Bagi kesalahan menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan manakala untuk kes memberi dirinya dadah berbahaya, dia dihukum penjara 10 bulan.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Yasin daripada ketiga-tiga pertuduhan.
Mahkamah sebaliknya memerintahkan penyanyi itu ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia mengikut Seksyen 348(1) Kanun Prosedur Jenayah (KTJ) selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor.
Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap pembebasan itu dan Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan tersebut serta mendapati Muhammad Yasin bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, Yasin didapati bersalah kerana memiliki 193.7 gram kanabis di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022 manakala pertuduhan kedua membabitkan penanaman pokok kanabis di tempat dan masa yang sama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami