Penyatuan nasional bukan satu keperluan kerana masalah yang dihadapi Malaysia sekarang adalah "krisis legitimasi politik", menurut penganalisis politik, James Chin.

Menurut Profesor Sains Politik dari Universiti Monash itu, terdapat tiga isu utama yang menyelubungi krisis ini, iaitu: Suruhanjaya Pilihan Raya, sistem pilihan raya dan pembiayaan politik.

Chin berkata, ketiga-tiga isu ini perlu diselesaikan dengan segera atau orang ramai akan terus membangkitkan isu-isu ini dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Masalah yang kita hadapi sekarang bukan masalah penyatuan. Tiada apa yang perlu disatukan. Pilihan raya adalah satu medium bagi orang ramai dalam mempunyai kebebasan untuk memilih," kata Chin pada acara seminar selepas PRU13 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menolak wacana sokongan ‘tsunami Cina’ memihak kepada pembangkang dalam pilihan raya yang lepas, Chin berkata, secara tradisinya, majoriti Cina, sejak tahun 1999 sentiasa menyokong pihak pembangkang. "Cuma kali ini jurang perbezaan lebih meluas."

"Kesemua debat tentang penyatuan nasional hanyalah satu situasi di mana ahli-ahli politik sudah tidak mempunyai apa-apa yang lebih berfaedah untuk dilakukan. Penyelesaian yang ditawarkan adalah tidak efektif jika orang ramai masih tidak mahu menerima cara pilihan raya diadakan, "katanya.

Menjawab soalan yang diajukan semasa seminar tersebut, Chin berkata ramai meminta SPR menjadi lebih profesional, bukan semata-mata terdiri daripada kakitangan awam bersara.

Dalam sistem pilihan raya, Chin berkata isu-isu ini termasuk sempadan pilihan raya, isu di Malaysia Timur, kelayakan mengundi dan sebagainya.

Isu pembiayaan politik pula, Chin berkata cara yang dipraktikkan sekarang ini tidak dikawal selia menjadikannya berat sebelah terhadap orang yang lebih kaya.

"Memang kita sudah sedia maklum bahawa sejak awal lagi memang tiada siapa yang akan mengikut peraturan. Semua orang tahu bahawa untuk setiap kerusi minimum RM3 juta boleh dibelanjakan tetapi kini timbul cerita berbilion ringgit, "katanya.

Calon Parlimen boleh menggunakan sebanyak RM200,000 untuk berkempen. RM100, 000 adalah bagi mereka yang bertanding di kerusi Dun.

Sementara itu, Profesor di Jabatan Komunikasi, Kulliyyuah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di UIAM, Datuk Seri Prof Syed Arabi Idid berkata, kelompok baru telah ditubuhkan di bawah Majlis Profesor Negara mengenai penyatuan nasional.

"Selepas kemerdekaan pada 1957, Umno, MIC dan MCA perlu bergabung untuk membentuk satu perikatan. Selepas krisis 13 Mei 1969, perikatan yang lebih kukuh dilihat penting kerana terdapat pengembangan geografi pada tahun 1963, dan membentuk Jabatan Perpaduan Negara ... "

"Tetapi kini, penyatuan adalah penting, tetapi apakah garis dasarnya? Kita masih mencari jawapannya," katanya, sambil menambah beliau akan mempengerusikan kelompok baru tersebut.

Walau bagaimanapun, Syed berkata kajian dan perbincangan yang dilakukan perlu dilihat pada gambaran yang lebih besar daripada pembahagian politik.

"Kita juga perlu melihat jurang kaum, budaya dan generasi. Sebahagian daripada pemisah ini akan kekal selama-lamanya, walaupun saya fikir kita telah belajar untuk menjadi bertolak ansur, kita telah menerima kenyataan bahawa kita semua berbeza, tetapi selagi perbezaan ini tidak membawa kesan buruk, tidak perlu untuk kita mengurangkan rasa takut ini."

Profesor Madya dari Universiti Pengurusan Singapura, Bridget Welsh berkata, masalah terbesar ialah perbincangan menjurus kepada etnik.

"Isu-isu yang memisahkan negara ini bukanlah mengenai kaum sahaja, tetapi isu yang berkaitan dengan tadbir urus yang baik serta isu mengenai idea dan ideologi. Anda perlu mencari asas yang sama untuk membina penyatuan nasional. "

"Salah satu masalahnya adalah rasuah dan pembaharuan pilihan raya," katanya.

Menurut Welsh, isu yang dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah bahawa "beliau sendiri tidak dipercayai oleh ramai orang."

"Pada tiga bidang, beliau berhadapan masalah dalaman, beliau berhadapan dengan pembangkang dan beliau menghadapi orang ramai. Kini kepercayaan terhadap beliau sudah semakin berkurangan berbanding sebelum proses pilihan raya lepas.”

Welsh berkata, Najib tidak boleh terus mendiamkan diri dalam pelbagai isu tetapi beliau perlu mula berkomunikasi dengan rakyat dan negara bagi menunjukkan kepimpinan beliau.

“Beliau sepatutnya bercakap dengan rakyat, tentukan apa yang penting buat beliau. Perjelaskan apa yang dimaksudkan beliau mengenai penyatuan nasional atau orang akan menganggap beliau sendiri tidak jelas dengan isu ini,” tambah Welsh.

Profesor Madya di Jabatan Sains Politik UIAM, Profesor Wahabuddin Ra'ees berkata Malaysia perlu melihat cara untuk bersatu dan tidak perlu untuk menjadikan negara lain sebagai negara contoh.

"Walaupun jelas langkah pertama melibatkan orang Melayu, tetapi kaum Cina dan India juga perlu turut sama dibawa dalam perbincangan, "kata Wahabuddin.

Tambah beliau, kajian perlu diadakan, pembentukan jawatankuasa serta satu pelan tindakan untuk perpaduan, kestabilan dan integriti negara ditulis.

"Ini merupakan jalan yang perlu diambil. Ia tidak seharusnya menjadi satu perkara yang mendadak di mana kedua-dua pihak bertemu ... berdiam diri dan melupakan perkara tersebut. "

Pada akhir bulan lalu, Najib berkata kerajaan merancang untuk menubuhkan sebuah Majlis Perundingan Kebangsaan mengenai perpaduan.

Najib menyebut tentang isu perpaduan ini sebaik keputusan pilihan raya pada 5 Mei lalu diumumkan dan menambah bahawa syarat awal untuk penyatuan nasional adalah untuk orang ramai menerima keputusan PRU13.