Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu atau khabar angin mengenai situasi politik semasa kerana tindakan itu boleh menyebabkan keadaan menjadi bertambah rumit sekiranya tidak terkawal.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata selain itu tindakan menyebarkan berita palsu juga boleh menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara.

"Masyarakat perlu bersabar dan menyerahkan semua keputusan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung situasi sekarang. Namun, soal keselamatan negara adalah tanggungjawab semua, jadi kita tidak perlu terbabit dalam menyebarkan berita palsu yang (boleh) membawa kepada isu perkauman dan anti perpaduan.

"Saya lihat trend ini (menyebar berita palsu) di negara kita amat membimbangkan sekarang dan diharap semua dapat bersabar serta mendengar atau membaca berita daripada sumber yang sah sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Mahasiswa Pembentuk Masyarakat Yang Berkualiti di Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini pada Jumaat.

Turut hadir pada forum disertai 500 pelajar PSP itu ialah Pengerusi MCPF Pulau Pinang Datuk Seri Syed Jaafar Syed Ali, Ketua Polis Negeri Datuk T. Narenasagaran dan Pengarah PSP Mejar (K) Fisal Haroon.

Sementara itu, Lee berkata generasi muda terutama golongan pelajar merupakan ejen perpaduan dan mereka perlu memainkan peranan bagi mengekalkan keharmonian negara pada masa hadapan.

Beliau turut mengingatkan para pelajar supaya melengkapkan diri dengan meningkatkan kebolehpasaran dalam bidang yang diceburi selepas tamat belajar kerana mereka bakal menerajui negara.

"Pelajar sebenarnya perlu menjadi ejen perpaduan kerana mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang. Jadi, kesempatan ini perlu diambil bagi merapatkan integrasi kaum dan ia perlu bermula dari peringkat sekolah serta pusat pengajian kerana di situ merupakan tempat terbaik bagi membina semangat perpaduan," katanya.

Selain itu, katanya generasi muda juga perlu membudayakan kepentingan soal keselamatan seperti kemalangan jalan raya, keselamatan komuniti dan fokus terhadap pembangunan mental kerana ia membawa pelbagai masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, penderaan kanak-kanak, bunuh diri dan pelbagai lagi.

"Pelajar bukan hanya perlu menjadi cemerlang dalam akademik tapi dalam pembinaan watak diri kerana orang yang mempunyai integriti tidak akan terbabit dengan jenayah dan rasuah," katanya.

-- BERNAMA