KUALA LUMPUR: Tindakan Malaysia Airlines menyediakan makanan di dapur luar sementara di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menimbulkan tanda-tanya mengenai aspek pematuhan piawaian kebersihan tinggi persijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Setiap syarikat katering penerbangan, termasuk Brahim's Food Services Sdn Bhd (BFS) kerap diperiksa dan diaudit sepanjang tahun.

Malah, kesemua 35 syarikat penerbangan yang melanggan BFS juga mengaudit pusat penyediaan makanan hampir setiap minggu.

BFS juga mengaudit pembekal-pembekal dan syarikat yang tiada persijilan HACCP tidak boleh berurusan kerana pematuhan piawaian kebersihan dan keselamatan adalah tinggi dan tiada kompromi.

Difahamkan BFS terpaksa menolak satu syarikat chef terkenal sebagai pembekal bahan kerana tidak mempunyai persijilan HACCP.

Diajukan persoalan pematuhan piawaian kebersihan ini kepada Pengerusi Brahim's Holdings Bhd, Dato’ Seri Ibrahim Ahmad, beliau berkata, "Mempunyai kawasan pengeluaran sementara di luar bangunan, pastinya tidak boleh diterima sebagai standard biasa tetapi pihak berkuasa perlu memutuskan perkara tersebut. Saya tidak boleh komen lebih daripada itu."

Mengulas mengenai penamatan kontrak BFS, Ibrahim berkata, rundingan kontrak tidak dapat diselesaikan akibat pengenalan satu perkara baharu 'Penamatan Kemudahan', yang tiada pembekal akan bersetuju.

Menurutnya, selepas COVID-19, pihaknya berunding dengan Malaysia Airlines untuk kontrak baharu seiring dengan perolehan lesen Mavcom pada 15 Oktober 2022 dan rundingan kontrak 3+2 telah dimulakan supaya kontrak boleh dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2023.

"Selepas dua kali lanjutan kontrak adhoc, kami menulis kepada Malaysia Airlines pada 6 Jun 2023, namun kontrak tidak ditandatangani. Namun kontrak adhoc dilanjutkan dua bulan lagi hingga 31 Ogos lalu," jelas beliau.

Ditanya kedudukan 30% kepentingan Malaysia Airlines di dalam BFS, Ibrahim berkata, syarikat penerbangan nasional itu masih pemegang saham BFS.

"Apabila kerajaan membenarkan kami mengambil alih MAS Catering pada 2003, MAS meminta untuk dikekalkan 30% ekuiti kerana ia adalah aset strategik bagi mereka.

"Jadi kami akhirnya memperoleh hanya 70% ekuiti syarikat untuk nilai tunai RM175 juta dengan kerugian terkumpul RM240 juta," jelas beliau lagi.

Ditanya apa berlaku kepada BFS selepas penamatan kontrak Malaysia Airlines, Ibrahim berkata, perniagaan BFS berjalan seperti biasa untuk 35 pelanggan syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Qatar Airways, Emirates, ANA dan lima syarikat Top 10 lain dan syarikat 4 bintang.

"Kami juga telah memulakan perniagaan bukan penerbangan seperti bekalan ke pasar raya (antaranya, AEON) dan rangkaian kafe.

"Kekosongan yang ditinggalkan oleh MAS ini boleh digunakan bagi mengembangkan perniagaan bukan penerbangan dan katering, yang selama ini tidak kami beri perhatian demi menumpukan kepada katering penerbangan," katanya.

Ditanya apakah prospek masa depan perniagaan katering penerbangan, Ibrahim menegaskan perniagaan ini sangat istimewa dan tidak banyak pemain.

"Kebanyakan negara hanya ada satu atau dua, kecuali di Eropah dan Amerika Syarikat di mana industri penerbangan sangat besar. Malah Singapura hanya satu, di bawah Temasek," ujarnya.

Menurutnya, perniagaan katering tetap diperlukan selagi perjalanan udara kekal jadi pilihan terbaik untuk perjalanan jauh. Penumpang perlu diberi makanaN terutama perjalanan jauh. Jenis makanan mungkin berubah tetapi katering kekal.

Kepada soalan lebih peribadi, Ibrahim ditanya mengenai rancangannya untuk BFS, termasuk kemungkinan menjualnya.

"Memandang masalah semasa yang berlaku ini, `melepaskan perniagaan' ini pasti menjadi satu opsyen.

"Saya berumur 76 tahun pada Julai lepas dan mempunyai episod kesihatan ringan baru-baru ini. Jadi bila kawan-kawan tanya bila saya akan bersara, saya cuma jawab `tidak lama lagi, mungkin'. - DagangNews.com