MERSING: Polis Johor menahan seorang tekong bot yang membawa empat warga asing yang hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol, malam tadi. 

Individu berkenaan ditahan kira-kira jam 11.30 malam, selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing. 

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berumur dalam lingkungan 20 tahun itu pada mulanya dipanggil bagi memberi keterangan. 

Namun, dia kemudiannya ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine selesai menjalani ujian saringan air kencing. 

"Pihak polis akan menyiasat. Kita akan menyiasat dari segi kelengkapan, peralatan menyelam mereka, juga tempat atau pusat menyelam, dan sebagainya.

"Kita akan siasat dan pasukan forensik juga akan sampai untuk membuat siasatan. Kalau ada apa-apa terjadi, kalau ada salah laku dan sebagainya, pun kita akan buat siasatan juga.

"Ya kita sudah menahan dia untuk membantu siasatan. Kita buat ujian air kencing dan didapati dia positif dadah," kata Kamarul Zaman di sini hari ini. 

BACA: 4 warga Eropah hilang ketika menyelam di Mersing 

BACA: Operasi cari 4 penyelam warga Eropah hilang di Mersing ditangguh

Beliau ditemui ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) di Pengkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek berkenaan akan ditahan sehingga siasatan selesai. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Merbahaya 1952. 

BACA: Penyelam hilang di Mersing: Dua beranak dikenal pasti antara empat warga asing

BACA: Penyelam hilang di Mersing: Polis tahan tekong bot, positif dadah

Dalam kejadian tengah hari semalam, empat warga asing hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini.

Mereka dikenal pasti sebagai remaja lelaki warga Belanda berusia 14 tahun; lelaki warga Britain berusia 46 tahun, wanita warga Perancis berusia 18 tahun dan wanita warga Norway berusia 35 tahun, dipercayai jurulatih menyelam.