TAWAU: Seorang penyelia ladang warga Indonesia berumur 57 tahun, ditemui mati dengan empat kesan tetakan di sebuah ladang sawit di Batu, 12 Jalan Sin Onn Tiku, Tawau pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tetakan di kepala mangsa, manakala satu kesan tetakan di belakang badan mangsa.

Menurut Peter, kejadian berlaku kira kira jam 1 petang apabila mangsa sedang melalui sebuah jalan di ladang tersebut sebelum ditetak oleh suspek yang berumur 31 tahun yang juga merupakan warganegara Indonesia dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Setelah melakukan pemeriksaan awal di lokasi, mayat mangsa dihantar ke hospital Tawau untuk proses bedah siasat.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa bekerja dalam satu syarikat yang sama di mana mangsa sudah bekerja di syarikat berkenaan selama 20 tahun, manakala suspek baru bekerja selama dua bulan.

"Turut dirampas di lokasi kejadian ialah sebilah parang berukuran 50 sentimeter panjang yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menetak mangsa," katanya dalam satu sidang media di sini pada Rabu.

Motif kejadian juga belum dikenal pasti memandangkan suspek dipercayai mengalami gangguan mental dan pernah mendapatkan rawatan perubatan tradisional.

Sehubungan dengan itu, suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula tarikh penahanannya ialtu Selasa untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.