MALAYSIA
Penyelia tapak didakwa pindah wang haram RM2 juta

Law Tuan Hai dibawa polis ke mahkamah. -Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang penyelia tapak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2 juta, dua tahun lalu.
Ringkasan AI
- Law Tuan Hai mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram RM2 juta melalui penipuan jual beli hartanah palsu di Tampin.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan termasuk laporan polis dan penyerahan pasport.
- Kes akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Melaka dan disebut semula pada 2 September kerana berkait dengan pertuduhan serupa di sana.
Pemindahan itu dilakukan setelah tertuduh menipu lelaki terbabit untuk mempercayai bahawa beliau ingin menjual satu lot hartanah dalam daerah Tampin, sedangkan beliau bukan pemilik yang sah bagi hartanah tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bahau, Jempol antara 27 hingga 31 Oktober 2023.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan pengubahan wang haram di bawah Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan sebanyak RM200,000.
Peguam, Low Huey Theng memohon jaminan paling minimum iaitu RM30,000 untuk anak guamnya dengan jaminan oleh anak sulung tertuduh yang merupakan seorang peguam.
“Tertuduh bekerja sebagai penyelia tapak dengan pendapatan RM5,000 sebulan dan menanggung ibu berusia 93 tahun, isteri serta dua anak termasuk anak bongsu yang masih bersekolah.
“Kesihatan tertuduh juga tidak baik dan beliau dinasihatkan berjumpa doktor pakar secepat mungkin kerana menghidap masalah buah pinggang kronik serta hidung yang sering berdarah,” katanya.
Menurutnya lagi, tertuduh turut berhadapan dengan satu lagi pertuduhan melibatkan jumlah sama, iaitu RM2 juta, di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Melaka pada April 2024.
Perkara itu disahkan pihak pendakwaan yang memaklumkan bahawa kes pengubahan wang haram tertuduh pada Isnin akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Melaka kerana melibatkan transaksi, dokumen dan saksi yang sama.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi secara langsung atau melalui pihak ketiga.
Mahkamah turut menetapkan kes itu akan disebut bersama pertuduhan di Mahkamah Sesyen Melaka pada 2 September depan. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami