MALAYSIA
Penyerahan tentera Kemboja ditahan Thailand selesai dalam masa terdekat - Panglima ATM

Mohd Nizam berkata, penyerahan itu sebahagian daripada komitmen Malaysia dalam memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Proses penyerahan 20 anggota tentera Kemboja yang ditahan pihak tentera Thailand dalam konflik bersenjata membabitkan kedua-dua negara baru-baru ini, dijangka selesai dalam masa terdekat.
Ringkasan AI
- Proses penyerahan 20 anggota tentera Kemboja yang ditahan susulan konflik bersenjata di sempadan dijangka selesai dalam masa terdekat, hasil koordinasi Malaysia sebagai pasukan pemantau gencatan senjata.
- Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, memaklumkan bahawa semua tahanan dilayan dengan baik dan pihak Thailand memberikan kerjasama positif terhadap permintaan rasmi Kemboja.
- Konflik bersenjata antara Kemboja dan Thailand berakhir pada 28 Julai selepas persetujuan gencatan senjata dicapai dalam mesyuarat khas anjuran Malaysia di Putrajaya, dengan seorang anggota tentera Thailand disahkan terkorban.
"Pihak Thailand juga telah memberikan kerjasama yang baik dan insha-Allah akan berjaya dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata semua anggota tentera Kemboja yang berada dalam tahanan pihak Thailand juga telah dilayan dengan baik.
Bernama sebelum ini melaporkan Kemboja meminta bantuan Malaysia, yang kini berperanan sebagai penyelaras dan pemerhati pelaksanaan gencatan senjata, untuk membantu membebaskan kesemua anggotanya yang ditahan tentera Thailand, susulan konflik bersenjata di sempadan kedua-dua negara.
Laporan berkenaan turut menyebut bahawa Panglima Angkatan Tentera Diraja Kemboja Jeneral Vong Pisen telah mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak Malaysia, untuk membantu usaha pembebasan itu.
Selain itu, Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja Leftenan Jeneral Maly Socheata dilaporkan turut berkata bahawa tentera Thailand telah menyerahkan mayat seorang anggotanya, manakala 20 lagi tentera Kemboja masih dalam tahanan.
Konflik bersenjata antara Kemboja dan Thailand itu berakhir tepat tengah malam 28 Julai lepas, susulan persetujuan gencatan senjata yang dicapai dalam mesyuarat khas anjuran Malaysia di Putrajaya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami