IPOH: Seorang daripada dua penyokong bola sepak yang ditahan semasa perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) telah didenda RM1,500 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 25 tahun itu mengaku bersalah selepas didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas pegawai polis.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu mendapatinya positif dadah jenis ganja (THP).

Menurutnya, seorang lagi lelaki berusia 31 tahun yang ditahan atas kesalahan membawa sebilah pisau pendek semasa pemeriksaan polis, akan didakwa pada Isnin.

Katanya, lelaki tersebut direman dua hari sehingga esok, untuk siasatan lanjut.

“Polis telah memperolehi arahan pertuduhan terhadap tangkapan ini daripada Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan akan dibuat pada 23 Oktober 2023 di Mahkamah Majistret Ipoh di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Yahaya menasihatkan orang awam supaya tidak membawa sebarang senjata berbahaya atau bahan letupan seperti mercun ke dalam stadium semasa menonton perlawanan bola sepak.

Menurutnya, ia merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, media melaporkan polis telah menahan dua lelaki melibatkan penyokong bola sepak dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan JDT di Stadium Perak pada Khamis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan itu bagaimanapun hanya melibatkan kesalahan kecil tanpa sebarang isu rusuhan atau pergaduhan.

Pada perlawanan itu, The Bos Gaurus tewas 1 - 4 kepada JDT.