RAKAMAN video dari papan pemuka (dashcam) kereta pelakon Janna Nick, yang memaparkan seorang lelaki diseret ketika cuba mengejar penjenayah, mendapat perhatian netizen.

Dalam kemas kini di Instagram, Janna yang secara kebetulan melalui kawasan itu, berjaya merakam situasi cemas apabila lelaki itu cuba mengejar mengejar penjenayah yang memecahkan tingkap kereta miliknya di Damansara Perdana, pada Khamis.

"Peragut hampir membunuh! Omg! Tolong cari jap owner kereta tu. Kesian abang pakai baju Melayu ni. Sampai berdarah-darah tangan kena seret atas jalan. Cermin kereta dia pecah.

"To abang baju Melayu, I don't have your contact number. Tak tahu macam mana nak pass this video. Luckily my dashcam ada record," tulis Janna.

Identiti individu berkenaan dikenal pasti sebagai Khairul Rizuan Azizan, penyampai berita sebuah stesen televisyen swasta.

Portal Harian Metro melaporkan Khairul Rizuan mengalami luka di tangan, jari kanan serta lutut kanan akibat diseret kereta Perodua Myvi dipandu suspek yang bertindak melarikan diri.

Ketika kejadian, dia meletakkan kereta Honda City miliknya di tepi jalan untuk ke sebuah kedai serbaneka di lokasi terbabit.

Khairul Rizuan juga memaklumkan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.