IPOH: Kerajaan Negeri Perak bercadang untuk membangunkan empat projek Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan penghuni penempatan semula setinggan mendapatkan kediaman yang lebih selesa dan murah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata setakat ini terdapat 16 PPR di seluruh negeri Perak dengan 2,876 unit rumah telah dibina, dan permohonan bagi menyertai PPR tahun ini 2022 adalah sebanyak 1,378 dengan kebanyakan pemohon terpaksa dimasukkan dalam senarai menunggu

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak telah mencadangkan empat tapak bagi pembinaan PPR kepada Jabatan Perumahan Negara, di bawah Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, yang merupakan agensi pelaksana utama projek PPR.

"Sama-sama kita harapkan permohonan ini akan diluluskan dalam masa terdekat untuk membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan rumah PPR ini," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Bersatu-Sungai Manik) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri bercadang untuk membina lebih banyak PPR bagi membantu rakyat mendapatkan kediaman.

Sandrea (PKR-Teja) berkata selain suntikan kerajaan pusat, kerajaan negeri turut mendapatkan kerjasama pihak swasta untuk terlibat dalam insentif projek PPR supaya rakyat dapat membayar sewa rumah dengan kadar yang rendah bukan sahaja di bandar tetapi juga kawasan perkampungan.

Katanya penyertaan pihak swasta terutamanya syarikat perumahan boleh memainkan peranan antaranya melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat bagi membantu menaik taraf PPR sedia ada bagi mendukung usaha itu serta memendekkan waktu menunggu.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) yang bertanya sama ada kerajaan negeri bercadang untuk membantu menyediakan PPR dalam keadaan yang kondusif, kerana aspek keluasan rumah boleh memberi kesan kepada masalah sosial, Sandrea berkata pihaknya mengambil maklum akan cadangan itu.

"Satu cadangan yang sedang dikaji adalah sama ada kita boleh mengadakan satu 'public space' yang boleh digunakan penduduk di situ supaya walaupun keluasan rumah mempunyai kekangan tertentu, namun secara keseluruhan penghuni dan anak-anak ada kawasan sesuai untuk membuat kerja, bersosial dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA