Perak catat pelaburan RM6.25 bilion setakat Jun 2025

Saarani berkata, limpahan manfaat Belanjawan 2026 turut menyantuni negeri Perak melalui kesinambungan projek berimpak tinggi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA KANGSAR: Perak merekodkan pelaburan bernilai RM6.25 bilion melibatkan 203 projek dan berpotensi menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan, sehingga Jun 2025,
Ringkasan AI
- Perak merekodkan pelaburan bernilai RM6.25 bilion melibatkan 203 projek, menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan hingga Jun 2025, menunjukkan peningkatan signifikan dalam nilai pelaburan dan penjanaan pekerjaan berbanding tahun sebelumnya.
- Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 67.4 peratus pada suku kedua tahun 2025, sementara kadar pengangguran negeri turun kepada 3.2 peratus pada suku pertama tahun yang sama, menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang positif.
- Perak dijangka dapat memadam unjuran defisit sebanyak RM81.8 juta dalam Belanjawan 2025 dengan kutipan hasil hampir mencapai sasaran, manakala sektor pelancongan negeri kembali pulih dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, menjadi destinasi pilihan pelancong domestik.
“Maka seiring pertumbuhan iktisad serta usaha kerajaan Tuanku memperluas jalur ekonomi negeri, kadar penyertaan tenaga buruh telah meningkat kepada 67.4 peratus pada suku kedua tahun 2025, berbanding 65.6 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan tahhiah dan taat setia mewakili kerajaan dan rakyat pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena sambutan ulangtahun hari keputeraan ke 69 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.
Menurutnya, kadar pengangguran negeri turut menurun kepada 3.2 peratus pada suku pertama tahun 2025 berbanding 3.4 peratus pada tempoh sama tahun lalu.
Katanya, di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-13, sebanyak 466 projek bernilai RM1.84 bilion telah diluluskan di seluruh negeri, meliputi infrastruktur asas, kemudahan sosial, pendidikan, kesihatan serta pembangunan industri.
Pada masa yang sama, beliau berkata, limpahan manfaat Belanjawan 2026 turut menyantuni negeri Perak melalui kesinambungan projek berimpak tinggi.
Katanya, antara yang diberi penekanan ialah peluasan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang akan memperkukuh ekosistem industri hijau di utara negeri, serta pengembangan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai pemangkin sektor maritim serantau.
“Selain itu, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh kini dalam fasa penambahbaikan kemudahan kargo dan penerbangan, manakala peruntukan bagi pemuliharaan Tapak Warisan Dunia Lenggong akan memperkukuh potensi pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.
Saarani memaklumkan menghampiri penghujung tahun 2025, kedudukan kewangan negeri juga semakin mengukuh dengan kutipan hasil setakat 7 November lalu mencecah RM1.1 bilion, menghampiri sasaran RM1.4 bilion.
Menurutnya, berdasarkan kepada itu, Perak dijangka dapat memadam unjuran defisit sebanyak RM81.8 juta dalam Belanjawan 2025, sekali gus merekodkan lebihan untuk tahun keempat berturut-turut.
Katanya, sektor pelancongan negeri yang dahulunya terjejas akibat pandemik Covid 19, kini telah kembali pulih dan menjadi antara nadi pertumbuhan iktisad negeri.
Menurutnya, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang diterbitkan pada Jun 2025 menyebut, seramai 10.2 juta pelancong domestik berkunjung ke Perak, sekaligus menjadi negeri paling popular dikunjungi di seluruh Malaysia.
“Pertumbuhan yang mengharumkan nama watan ini telah menyumbang kepada peningkatan hasil ekonomi negeri, dengan perbelanjaan pelancong domestik dianggarkan melebihi RM8 bilion pada tahun 2024,” tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


