Kerajaan Perak sudah memulakan perbincangan tidak rasmi dengan Selangor dan Pulau Pinang berhubung cadangan menjual air kepada kedua-dua negeri jiran itu.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata jika rundingan itu berjaya, Perak berhasrat menjual air terawat dan bukannya air mentah kepada kedua-dua negeri berkenaan.

"Kerajaan negeri kini mencari tapak sesuai bagi membina loji rawatan air, selepas itu kita akan rawat air tersebut dan seterusnya jual kepada Selangor dan Pulau Pinang.

"Jika rundingan ini berjaya, ia amat membantu Perak," katanya dalam satu temu ramah khas bersama Bernama di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Ditanya mengenai harga jualan bakal ditawarkan, Ahmad Faizal berkata Lembaga Air Perak (LAP) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang membuat kajian berhubung perkara itu.

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata beliau juga sudah memaklumkan hasrat kerajaan negeri itu kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar dalam satu pertemuan di Parlimen, baru-baru ini.

"Beliau (Dr Xavier) menyatakan pihaknya sedia menjadi fasilitator kepada rundingan itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri pimpinannya komited untuk membina lapangan terbang bertaraf antarabangsa di Perak sebagai usaha memajukan dan membangunkan lagi industri pelancongan selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

"Lapangan terbang ini kita akan usaha untuk buat dalam penggal ini," katanya sambil menambah lapangan terbang baharu itu mungkin kekal dibina di kawasan cadangan kerajaan terdahulu di Seri Iskandar.

Menteri Besar Perak itu juga berkata jika pembinaan lapangan terbang baharu direalisasikan, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini, boleh dijadikan sebagai hab bagi pesawat atau jet peribadi.

Ahmad Faizal berkata beliau juga mengarahkan UPEN agar bertindak lebih agresif untuk menarik syarikat daripada industri teknologi tinggi datang ke Perak dan melabur di negeri ini.

"Saya impikan kita ada Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi, ini boleh kita adakan kerana bentuk muka bumi Perak sesuai untuk tujuan itu," katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakannya melakukan rombakan ke atas banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang dilihat sebagai langkah terburu-buru, Ahmad Faizal berkata: "Kita bukan hendak balas dendam atau kenakan orang, tetapi ada tanggungjawab untuk mentadbir negeri dengan penuh amanah".

Katanya setelah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar pada 12 Jun lalu, beliau melihat banyak perjanjian melibatkan GLC berkenaan yang tidak menguntungkan dan berat sebelah.

"Saya memanggil ketua-ketua GLC berkenaan dan berikan pandangan, nyatakan kepada mereka bahawa sukar kerajaan negeri hendak bekerjasama dengan mereka.

"Jadi saya bagi pandangan mungkin sesuai mereka melepaskan jawatan. Kerja saya bukan hendak menghukum atau memasukkan orang dalam penjara," katanya.

Beliau berkata antara GLC terlibat adalah Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (SEDC), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). -- Bernama