MALAYSIA
Perak perkasa TVET makanan dan minuman bagi lahirkan tenaga mahir

Latihan kemahiran yang diterapkan memastikan pelajar bersedia bersaing di pasaran kerja sebaik tamat pengajian.
KUALA KANGSAR: Kerajaan Negeri Perak terus memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam bidang makanan dan minuman (F&B) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam kalangan belia.
Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kolej Komuniti Chenderoh dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang bertindak sebagai ejen penyelaras TVET di negeri ini.
Menurut Pengarah Kolej Komuniti Chenderoh, Meor M. Sharifuddin Meor Shukri, latihan kemahiran yang diterapkan bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada pelajar, malah memastikan mereka bersedia bersaing di pasaran kerja sebaik tamat pengajian.
“Latihan kemahiran di kalangan belia ini adalah satu yang ditekankan oleh kerajaan sekarang. Di mana-mana pun akan diperkatakan mengenai TVET.
"Kolej Komuniti Chenderoh menyokong penuh hasrat kerajaan bersama PASAK dan kerajaan negeri untuk memastikan pelajar menerima pendidikan TVET yang sempurna,” katanya dalam episod khas AWANI Pagi baru-baru ini.
Beliau berkata, fasiliti sedia ada digunakan sepenuhnya bagi memberi pengalaman sebenar kepada pelajar sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.
Sementara itu, Mentor TVET Makanan & Minuman (F&B), Chef Nor Azli Mohamad berkata. bidang kulinari yang ditekankan melalui program TVET F&B ini memberi peluang besar kepada belia untuk mengembangkan bakat masing-masing.
“Apa yang diusulkan pada program TVET ini amat bagus. Kulinari ini boleh pergi jauh dan kerajaan negeri Perak sememangnya bagus dalam mengetengahkan kemahiran yang ada pada setiap individu,” katanya.
Kerajaan Negeri Perak sebelum ini menyatakan komitmen untuk menjadikan TVET sebagai pemacu pembangunan modal insan negeri, seiring dengan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi di pelbagai sektor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami