IPOH: Kerajaan negeri Perak meletakkan sasaran kejayaan hasil perlombongan nadir bumi 'lantanid' untuk tahun hadapan sebagai fokus dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Katanya, ketika ini kerajaan negeri sedang menunggu dan meneliti keputusan daripada kementerian yang terlibat seterusnya proses perlombongan hasil bumi itu dapat dimulakan.

"Kita memikirkan untuk membina kilang-kilang 'mainstream' atau dalam bidang hiliran. Kita mungkin tidak akan menjualnya secara mentah tetapi akan membina banyak kilang agar banyak peluang pekerjaan dapat disediakan kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Setahun Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, pada Khamis.

Terdahulu, kejayaan pelaksanaan pelan itu terbahagi kepada tiga sasaran utama iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.

Sementara itu, ketika mengulas gesaan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria, yang mengingatkan Menteri Besar supaya berpegang kepada pendirian untuk tidak menjual air Perak kepada Pulau Pinang, Saraani berkata keputusan itu berdasarkan kesesuaian keadaan semasa.

BACA: Jual air: Tidak ada kaitan dengan politik, kalau Kelantan nak beli pun boleh - Saarani

BACA: Air terawat: Perak sedia bincang dengan Pulau Pinang - MB

"Kita jual kepada siapa yang mahu beli dan menjual pada harga yang bersesuaian. Kalau ada peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kita buat loji rawatan air dan dapat bantu Lembaga Air Perak (LAP) beri bekalan air kepada orang di daerah Kerian untuk bidang pertanian.

"Sebelum ini, kita tidak bersetuju langsung sebab Pulau Pinang minta air mentah dan mahu proses di sana (rawat air) dan jual balik kepada kita. Kita mahu ia di proses dalam negeri ini dan jual kepada negeri itu (Pulau Pinang).

"Kalau sudah melebihi permintaan rakyat di negeri ini, orang nak beli dan beri pendapatan, kenapa tidak? Kalau negeri Kelantan mahu beli pun kita jual, asalkan mereka bayar," katanya.

-- BERNAMA