IPOH: Kerajaan Perak menerusi Tourism Perak mengambil inisiatif menawarkan 10,000 keping Baucar #TravelPerakLah kepada pelancong bagi merancakkan kembali kawasan pelancongan domestik yang ditutup sementara sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata ini berikutan pembukaan semula sektor pelancongan di beberapa negeri yang telah beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Tourism Perak menggerakkan beberapa inisiatif secara berperingkat iaitu menawarkan semula Baucar #TravelPerakLah bagi Fasa Satu hingga Fasa Tiga PPN dengan kaedah pelancong boleh terus menebus baucar tersebut apabila membuat pembelian pakej atau penginapan.

"Baucar #TravelPerakLah yang dilancarkan Julai tahun lepas dilanjutkan tempoh penggunaan serta penebusannya untuk pelancong hingga Jun 2022. Inisiatif ini sekali gus dapat memulihkan semula ekonomi pengusaha industri pelancongan yang terjejas sejak tahun lepas," katanya pada sidang media secara maya semasa melancarkan semula Baucar #TravelPerakLah Fasa Satu hingga Tiga PPN dan Baucar #TravelPerakLah Fasa Empat.

Nolee Ashilin berkata sebanyak 125 pemain industri terdiri daripada pengusaha hotel, pengusaha produk pelancongan dan agensi pelancongan yang berdaftar, terlibat dengan inisiatif berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata Baucar #TravelPerakLah Fasa Empat pula memfokuskan kepada 78 pengusaha spa dan yang berdaftar di bawah Persatuan Usahawan Spa Perak serta turut melibatkan 35 syarikat agensi pelancongan di bawah Persatuan Umrah, Haji dan Ziarah (PUHAZ).

Beliau berkata inisiatif baucar itu dijangka akan bermula 1 Okt hingga Jun 2022 dan maklumat lanjut berkenaan kesemua baucar boleh didapati di jaringan media sosial rasmi Tourism Perak.

"Kita berharap inisiatif ini mampu menarik minat orang ramai untuk kembali melancong ke negeri Perak di samping mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 daripada berleluasa," katanya.

-- BERNAMA