BAGAN SERAI: Kerajaan Perak akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau pengoperasian kolam ternakan udang yang dikesan banyak diusahakan secara haram di negeri ini.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, berdasarkan penelitian dibuat, banyak kolam ternakan udang termasuk di daerah Kerian diusahakan secara haram sejak berpuluh tahun hingga menimbulkan konflik dan menjejaskan kelestarian alam.

"Bukan lagi satu rahsia umum bahawa banyak kolam ternakan udang di seluruh Perak ini ada yang diusahakan secara haram.

"Kerajaan negeri cuba mencari kaedah menang-menang untuk membenarkan perusahaan itu dijalankan mengikut syarat.

"Satu daripadanya dengan menubuhkan satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan bersama Pejabat Tanah dan Galian untuk melihat perkara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan cek bantuan RM100,000 kepada Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Latifiah di Alor Setanggok dekat sini pada Isnin.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan negeri sebelum ini untuk menjadikan pengoperasian kolam ternakan udang haram itu sah di sini undang-undang, namun banyak yang terhalang.

Katanya, dalam masa sama, perusahaan itu tidak boleh dihentikan begitu sahaja kerana melibatkan proses undang-undang selain dikhuatiri menjejaskan sumber bekalan makanan negara.

"Kalau illegal, tak ikut syarat ditetapkan, kerajaan tidak mendapat apa-apa hasil, di samping itu, sebagai tanggungjawab menjaga sumber makanan, maka memang kita perlukan kolam-kolam udang sebagai bekalan makanan.

"Sebab itu kita akan tengok satu per satu kes yang ada, nanti akan ada mekanisme tertentu contohnya bagi kes yang dah diteroka berpuluh-puluh tahun, itu dah jadi satu kategori.

"Mana yang dah diteroka itu akan kita lihat sama ada boleh dijadikan legal atau tidak boleh, tetapi kita tidak akan benarkan penerokaan baharu dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu berkata, sumbangan RM100,000 itu digunakan bagi kerja baik pulih sekolah.

Katanya, sekolah yang berusia lebih 30 tahun itu telah mengalami pelbagai kerosakan sebahagian besarnya melibatkan struktur bumbung.

"Kita harap dana ini dapat digunakan sebaiknya bagi menjamin keselesaan murid," katanya.


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian