MOUNTAIN VIEW: Google mengumumkan kemas kini terbaharu bagi ciri “Help me write” dalam perkhidmatan Gmail, yang kini mampu menyesuaikan gaya dan nada penulisan pengguna bagi menghasilkan emel janaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih diperibadikan.
Menerusi keupayaan AI yang dipertingkatkan, ciri itu boleh menjana dan menjawab emel dengan merujuk konteks serta maklumat berkaitan daripada kandungan Gmail dan Google Drive pengguna, sekali gus menjadikan draf mesej lebih relevan dengan situasi sebenar, lapor Amanz.
Google memaklumkan, kemas kini itu bertujuan mengatasi kelemahan emel janaan AI yang sebelum ini sering dilihat terlalu umum dan kurang mencerminkan identiti penulis.
Pelancaran ciri berkenaan mula dilakukan secara berperingkat sejak 5 Mei lalu kepada pelanggan Google Workspace terpilih, termasuk pengguna pelan Business dan Enterprise, selain pelanggan pelan AI berbayar seperti Google AI Plus dan AI Pro.
Menerusi kemas kini itu, setiap draf emel yang dihasilkan akan disesuaikan secara automatik berdasarkan corak bahasa, gaya dan nada yang lazim digunakan oleh pengguna dalam komunikasi terdahulu.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai sebahagian usaha Google untuk menjadikan interaksi digital lebih semula jadi dan bersifat manusiawi, meskipun dibantu automasi berasaskan kecerdasan buatan.