Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas 1.5 juta pil Eramin 5 bernilai lebih RM23 Juta ringggit dalam serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, pihaknya menemui 12 kotak yang mengandungi dadah disyaki pil Eramin 5 dalam serbuan di Zon Perdagangan Bebas Kargo MAS LTAPP kira-kira jam 9 pagi pada 17 Disember lalu.

"Menurut rekod penerbangan, bungkusan berkenaan diikrarkan sebagai 'peralatan mekanikal' dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taipei City, Taiwan dan LTAPP merupakan destinasi terakhir dan dipercayai untuk pasaran tempatan,"

"Susulan itu, tiga lelaki berusia antara 18 hingga 34 tahun termasuk pekerja syarikat agen penghantaran telah direman 12 hari bagi membantu siasatan," katanya.

Tambah Zulkifli, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap syarikat penghantaran terbabit yang sebelum ini pernah beberapa kali membawa masuk barang dari luar negara.

Dalam pada itu, orang ramai di minta menyalurkan maklumat kepada pihak kastam berhubung aktiviti penyeludupan dadah dan juga barangan lain seperti rokok, minuman keras mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau terus ke pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang.