Peralihan kuasa perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Parti KeadIlan Rakyat (PKR) adalah soal muafakat yang akan diputuskan dalam Pakatan Harapan.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata perkara itu akan dilaksanakan seperti mana sewaktu pemilihan Tun Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh.

"Perkara itu (soal peralihan kuasa) perlu dikembalikan kepada Majlis Permuafakatan Pakatan Harapan, dan cuma sebelum ini telah dipersetujui ramai dan rakyat iaitu perdana menteri ketujuh ialah Tun M, manakala perdana menteri kelapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tempoh masa dan ketika sesuai peralihan itu akan dibincangkan pada majlis peringkat presiden," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai Bicara Reformasi di sini, tengah malam tadi.

Menurut Rafizi, peralihan kuasa tersebut akan diselesaikan secara bijak dengan mengambil contoh kebijaksanaan majlis permuafakatan pakatan harapan menggabungkan parti pimpinan Tun M (Bersatu), Anwar (PKR), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Parti Warisan Sabah) yang membawa kemenangan pada pilihan raya umum ke-14.

Sementara itu, berbicara soal Sabah, Rafizi berkata negeri itu memerlukan tumpuan khusus berkaitan soal hak dan pembangunan serta selaras sebagai negeri nombor dua terbesar di Malaysia.

"Saya akan berkampung di Sabah dan membantu kerajaan Warisan-Pakatan Harapan untuk memperkukuhkan kemenangan pada PRU ke-15," katanya yang tidak dapat berbuat demikian pada PRU-14 ekoran di 'gam' daripada menjejakkan kaki ke Sabah pada ketika itu.

Rafizi berkata perbincangan agenda pembangunan serta hak Sabah perlu dimulakan dari sekarang supaya penyelarasan bantuan kepada negeri itu dapat disalurkan sewajarnya.

"Saya lebih tahu selok belok politik serta ekonomi di Sabah berbanding negeri di Semenanjung Malaysia," katanya yang pernah bertanggungjawab dalam beberapa projek Petronas antaranya di Kimanis dan Petronas Methanol Labuan.

Dalam pemilihan parti akhir bulan ini, Rafizi berdepan penyandang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

--BERNAMA