Peranan wanita Negeri Sembilan martabatkan adat perpatih perlu diperkasa

Wan Hasni (kanan) meninjau sekitar peserta program Popatih Chelen yang diadakan sempena dengan Perpatih Fest 2025 yang berlangsung di Muzium Negeri, Seremban, 11 Okt 2025. - Facebook PUSPANITA Negeri Sembilan
SEREMBAN: Peranan wanita dalam memartabatkan adat perpatih perlu diperkasakan supaya warisan budaya itu kekal subur dan menjadi tunjang keharmonian masyarakat Negeri Sembilan.
Yang Dipertua Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah) Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof berkata hal ini kerana wanita memainkan peranan penting sebagai penjaga, pewaris dan penerus legasi adat yang membentuk kekuatan negeri beradat itu.
"Kita (Negeri Sembilan) sangat bertuah kerana memiliki warisan adat perpatih yang begitu istimewa dengan mengutamakan kaum wanita. Ia bukan sekadar susunan peraturan, tetapi falsafah kehidupan yang mendidik kita menghormati asal usul, menjaga hubungan kekeluargaan dan memelihara keharmonian.
"Di sinilah letaknya kekuatan wanita Negeri Sembilan sebagai penjaga dan pelindung kesejahteraan keluarga serta komuniti," katanya kepada Bernama pada program Popatih Chelen bersempena dengan Perpatih Fest 2025 di sini.Popatih Chelen yang disertai lebih 90 peserta itu merupakan pertandingan permainan tradisional seperti batu seremban, congkak, dam harimau, boling kelapa dan baling selipar serta dimainkan sekumpulan peserta daripada suku dan luak berlainan.
Isteri kepada Menteri Besar itu berkata peranan Ibu Soko dalam sistem adat perpatih juga amat penting kerana mereka bukan sekadar simbol kepimpinan wanita, tetapi juga penjaga garis keturunan, pewaris tanah pusaka dan pemelihara adat yang menjadi asas kepada keseimbangan sosial masyarakat Negeri Sembilan.
Sementara itu, peserta Zaitun Mat, 61, berkata dia menyertai aktiviti boling kelapa dan lempar tin dengan selipar pada program berkenaan sekali gus menjadi simbol wanita mampu memperkasakan semangat kekitaan dan nilai adat perpatih melalui aktiviti tradisional.
"Program seperti ini mengingatkan bahawa wanita mempunyai peranan besar dalam memelihara adat dan warisan negeri beradat ini. Melalui aktiviti yang kelihatan sederhana, kita sebenarnya menghidupkan semula semangat gotong-royong dan kebersamaan yang menjadi teras adat perpatih," katanya yang datang dari Tampin.
Noorhafiza Wati Mohd Nasir, 38, pula berkata dia kali pertama bermain permainan tradisional dam harimau dan menganggap penyertaan itu sebagai pengalaman berharga yang mencerminkan semangat wanita dalam mempertahankan warisan bangsa.
"Sebelum ini saya hanya pernah main dam aji, permainan ini nampak mudah, tetapi sebenarnya mencabar kerana undang-undangnya berbeza dan memerlukan tumpuan serta strategi, pada masa sama mengajar kami tentang kesabaran dan kebijaksanaan," katanya.
Perpatih Fest 2025 berlangsung di Muzium Negeri hingga Ahad ini menyediakan pelbagai aktiviti antaranya reruai Luak Beradat di Negeri Sembilan, demonstrasi dan jualan masakan luak, kraf tangan masyarakat Cina dan India, karnival kebudayaan Orang Asli, masakan rentas negeri, pertandingan permainan tradisional dan persembahan kesenian dan kebudayaan (Malam Gala Perpatih).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami