Usaha memerangi wabak COVID-19 yang menular di negara dan negeri ini bukan menggunakan senjata sebaliknya melalui peraturan dan disiplin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, ini memandangkan jangkitan dan penularan COVID-19 tidak dapat dilihat dan akan menyebabkan seseorang itu dijangkiti tanpa sedar.

"Kes pendamik COVID-19 ini diibaratkan peperangan cuma peperangan ini menggunakan senjata, peluru, kita nampak dan tembak. Tetapi tidak pada COVID-19. Ia tidak dapat dilihat dengan nyata.

"Oleh itu ia perlu diperangi dengan peraturan dan disiplin, jangan keluar tanpa ada tujuan," katanya selepas menyampaikan sumbangan bekalan makanan asas di Tawau.

Sehubungan itu Jaujan berharap agar rakyat bekerjasama dalam usaha memerangi wabak ini.

Kata beliau, ia dapat ditangani sekiranya rakyat sama-sama mematuhi arahan yang dikuatkuasakan kerajaan.

"Jadi saya harap rakyat bekerjasama. Di Tawau contohnya ini saya tengok sudah di bawah zon merah, cukup membimbangkan. Kita hanya boleh kawal keadaan ini kalau ada kerjasama daripada semua rakyat, kena fahami keadaan ini," katanya.