MALAYSIA
Peranti pengehad kelajuan kenderaan perdagangan berkuat kuasa 1 Oktober - Loke

Loke berkata, pengesahan ini boleh diperoleh daripada pengeluar kenderaan, penyedia perkhidmatan teknikal, bengkel dan penyedia kemudahan perkhidmatan yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Penguatkuasaan penggunaan peranti pengehad kelajuan pada kenderaan perdagangan akan dilaksana secara berperingkat dalam tiga fasa, dengan fasa pertama dijadual bermula pada Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia akan dimulakan dengan proses pengesahan dan pengaktifan peranti pengehad kelajuan, sebelum pelaksanaan sepenuhnya pada Julai 2026.
“Di bawah fasa pertama, kenderaan komersial berat yang didaftarkan selepas 1 Januari 2015 perlu mendapatkan pengesahan bahawa peranti pengehad kelajuan mereka berfungsi sebelum Oktober ini,” katanya pada sidang media, di sini, pada Jumaat.
Katanya, ini melibatkan semua bas persiaran dan bas ekspres, serta kenderaan berat yang mempunyai berat maksimum melebihi 3,500 kilogram.Pengesahan ini boleh diperoleh daripada pengeluar kenderaan, penyedia perkhidmatan teknikal, bengkel dan penyedia kemudahan perkhidmatan yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Pengesahan ini perlu diperbaharui setiap dua tahun. Dokumen tersebut juga mesti dibawa ke pusat pemeriksaan kenderaan semasa memohon permit baharu atau memperbaharui permit sedia ada,” katanya.
Loke berkata, fasa kedua akan mewajibkan kenderaan berat yang didaftarkan sebelum 1 Januari 2015 untuk mengaktifkan peranti pengehad kelajuan mereka.
“Dokumen pengesahan pengaktifan juga perlu diperbaharui setiap dua tahun dan mesti sentiasa disimpan di dalam kenderaan untuk tujuan pemeriksaan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau menambah, penguatkuasaan untuk aspek ini akan bermula pada Januari 2026.
Kenderaan berat yang melebihi 3,500 kilogram dan membawa lebih daripada lapan penumpang yang belum dilengkapi pengehad kelajuan perlu memasangnya mengikut spesifikasi ditetapkan JPJ.
“Ia bertujuan untuk memastikan peranti ini memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan,” katanya sambil menambah penguatkuasaan terhadap keperluan ini akan bermula pada Julai tahun depan.
“Kita faham masih banyak kenderaan yang belum dipasang dengan peranti ini, jadi kita beri masa yang mencukupi untuk pemasangannya,” ujarnya.
Pada Selasa, Loke berkata, kerajaan sedang merangka dasar baharu yang mewajibkan penggunaan pengehad kelajuan bagi kenderaan berat untuk meningkatkan keselamatan jalan raya.
Katanya, dasar itu sedang diteliti secara menyeluruh bagi memastikan tiada kelompongan atau peluang untuk dimanipulasi apabila ia dilaksanakan kelak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami