KUANTAN: Pas berterima kasih kepada Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang mengesahkan gambar yang tular di media sosial yang disyaki anjuran sebuah parti politik sebagai acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mengesahkan perarakan tersebut merupakan salah satu daripada acara yang dipertandingkan pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) di Terengganu 2023 yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Menurutnya, kenyataan tersebut telah menjawab tohmahan jahat yang dilemparkan oleh seorang pemimpin muda sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Kelantan yang mengaitkan cosplay Himpunan ‘Himpit’ di Terengganu sebagai unsur yang boleh disiasat di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

"Ada juga yang mencadangkan ia dilihat dalam aspek 'antikeganasan' (counter terrorism).

"Pas ingin menegaskan bahawa Himpunan Himpit di Terengganu adalah satu manifestasi semangat sayang kepada perjuangan para sahabat dan cinta kepada Islam dengan pakaian yang menjelmakan watak pejuang Islam di zaman para sahabat Rasullullah SAW.

"Apakah cinta kepada Islam agama sejahtera itu sudah salah di zaman pemerintahan Malaysia Madani?" kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, parti itu melihat isu tersebut sengaja dilemparkan kepada Pas dalam usaha memburuk-burukkan imej parti ini selain membawa lagi satu dogma Islamofobia dalam masyarakat.

Dalam laporan Sinar Harian pada Ahad, perarakan sekumpulan Pemuda Pas bersama replika senjata sempena Himpit 2023 yang berlangsung pada 17 dan 18 Februari di Setiu mencetuskan pelbagai polemik di media sosial.

Satu hantaran di media sosial Facebook pagi Ahad mempertikaikan tindakan itu yang disifatkan mempamerkan sisi 'ganas' parti tersebut. -Sinar Harian