KUALA LUMPUR: Tindakan pengendali terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang membuat beberapa perubahan dalam peraturan pengambilan penumpang, menimbulkan rasa kesal dalam kalangan pemandu e-hailing.

Dalam memo yang dikeluarkan pada Khamis oleh RACG Sdn Bhd selaku pengendali, antara perubahan yang dilakukan ialah penggunaan sistem Touch n' Go, mengehadkan masa menunggu dan mengenakan caj tambahan.

Caj tambahan sebanyak RM2 dikenakan bagi setiap kemasukan ke petak mengambil penumpang di Pintu 5.

Memo itu juga menyatakan semua kenderaan e-hailing perlu membuat pusingan semula apabila tempoh masa yang diberikan tamat, dan pemandu perlu memastikan baki sekurang-kurangnya RM20 dalam kad Touch n' Go mereka.

Seorang pemandu, Mohd Hafiz Hanawi memberitahu, dia hanya dimaklumkan tentang perubahan itu sehari sebelum ia berkuat kuasa.

Makluman itu pula hanya dibuat melalui satu notis yang diedarkan kepada pemandu yang berada di klia2, sebelum diikuti oleh notifikasi rasmi daripada Grab beberapa jam kemudian.

Pemberitahuan pada saat akhir itu, kata Mohd Hafiz, menyebabkan situasi kelam kabut apatah lagi ramai penumpang sudah terbiasa menunggu di aras 2, dan bukan aras 1 seperti yang diarahkan.

"Dalam group WhatsApp sudah kecoh kerana ia menyusahkan, ketika kita sampai tempat ambil penumpang, penumpang tidak bersedia malah ada yang tidak tahu pun tempat 'pick up' kerana notis di dalam terminal tidak mencukupi.

"(Pihak pengendali) kena bersiap sedia dengan semua kemungkinan seperti penumpang lambat sampai atau mereka buat tempahan awal.

"Jadi kena tempatkan anggota mereka di lokasi strategik untuk beri panduan kepada penumpang.

"Sekarang penumpang masih lagi tunggu di tempat lama, kalau di KLIA mereka tunggu tingkat 3, di klia2 pula tingkat 2 kedua.

"Jika ditahan pihak berkuasa, bukan pemandu malah penumpang pun kena kompaun," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.

Justeru, Mohd Hafiz berharap pihak Grab dapat bertindak dan melakukan bantahan kerana situasi itu menyukarkan mereka, malah boleh menjejaskan pendapatan mereka.

Astro AWANI cuba mendapatkan reaksi daripada pihak Grab Malaysia, namun dimaklumkan mereka belum boleh memberikan sebarang kenyataan buat masa ini.