GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan bekerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK) untuk mengkaji aspek daya maju projek kitar semula air kumbahan untuk kegunaan semula industri di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan PBA Holdings Bhd Ir K. Pathmanathan berkata kerjasama itu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memastikan sekuriti bekalan air di Pulau Pinang menjelang 2030.

"PBAPP telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IWK semalam, bagi memeterai kerjasama untuk meneroka daya maju projek kitar semula air kumbahan terawat dari tiga loji rawatan kumbahan (STP) IWK sedia ada di Pulau Pinang yang kini dilepaskan ke laut.

"Kami telah membincangkan kemungkinan mengitar semula air untuk kegunaan semula industri dengan IWK pada April tahun lepas dan sejak itu, kami telah mengenal pasti tiga STP yang terletak di Bayan Baru dan George Town di bahagian pulau dan Mak Mandin (tanah besar) untuk kajian mendalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata potensi hasil daripada kitar semula air dari tiga STP IWK itu boleh menyamai dengan 2.3 pengeluaran rawatan air modul rawatan air konvensional di Sungai Dua.

Pathmanathan berkata tiga STP yang dikenal pasti dipilih berdasarkan tiga kriteria utama iaitu lokasi strategik, berpotensi hasil isi padu pengeluaran air kitar semula dan kedekatan relatif dengan bakal pengguna kategori bukan domestik.

Katanya cabaran terbesar Pulau Pinang sekarang ialah kekurangan sumber air mentah kerana negeri itu mempunyai keluasan tanah terhad sebanyak 1,049 kilometer persegi.

"Jika kami dapat mengitar semula 260 juta liter sehari (JLH) air kumbahan terawat untuk kegunaan semula industri, kami akan meningkatkan kapasiti bekalan air maksimum PBAPP di Pulau Pinang sebanyak 260 JLH," katanya.

Beliau berkata cadangan kitar semula air itu mencerminkan komitmen PBAPP untuk merancang lebih awal demi kebaikan negeri dan rakyatnya serta jika berdaya maju, projek itu akan menyokong pencapaian visi Penang2030 di samping mengurangkan lagi risiko kekurangan air ketika musim kemarau yang berpanjangan.

Menurutnya, PBAPP dan IWK akan mengesahkan daya maju projek kitar semula air yang dicadangkan di Pulau Pinang dari sudut teknologi kitar semula air yang boleh digunakan, keperluan kejuruteraan air teknikal untuk membina dan mengendalikan modul kitar semula air bersebelahan atau berhampiran STP IWK sedia ada.

"Selain itu, potensi kualiti air kitar semula, kerja-kerja pemasangan paip dan pam khusus yang berasingan untuk membolehkan bekalan air kitar semula kepada pengguna industri serta kos keseluruhan untuk mengitar semula air kumbahan dan membekalkan air kitar semula," katanya.

-- BERNAMA