MALAYSIA
Perbahasan LKAN di Parlimen perlu diteruskan, dukung tadbir urus baik sektor awam - Azalina

Azalina bercakap pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat perlu diteruskan sebagai ruang semak dan imbang yang penting, selaras hasrat kerajaan mewujudkan tadbir urus sektor awam yang lebih baik selain penelitian di bawah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI meneruskan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat sebagai langkah reformasi untuk memperkukuh ketelusan dan semak imbang terhadap entiti awam.
- LKAN 2/2025 meneliti lima program di tujuh kementerian bernilai RM48.87 bilion, dengan tiga daripadanya didapati mengalami ketidakefisienan serius, disusuli 22 syor penambahbaikan.
- Perdana Menteri menekankan agar semua menteri ambil serius teguran Ketua Audit Negara terutama isu berulang, sebagai komitmen meningkatkan tadbir urus sektor awam.
"Sejak pembentangan dan perbahasan LKAN bermula pada 6 Jun 2023, LKAN telah dibahaskan sebanyak empat kali di Dewan ini," katanya ketika membentangkan usul LKAN 2/2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata LKAN 2/2025 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan/Badan Berkanun/Syarikat Kerajaan Persekutuan mengandungi perkara yang dibangkitkan hasil pengauditan terhadap lima program, aktiviti, projek di tujuh kementerian dengan nilai kos keseluruhan program yang diaudit berjumlah RM48.873 bilion.
Azalina berkata LKAN 2/2025 melaporkan berlaku ketakteraturan serius melibatkan tiga daripada lima program yang boleh menjejaskan kecekapan dan keberkesanannya untuk menghasilkan impak seperti yang diharapkan.
"Bagi menambah baik kelemahan yang dibangkitkan atau mengelakkan kelemahan yang sama berulang, sebanyak 22 syor telah dikemukakan dalam LKAN ini untuk diambil tindakan oleh kementerian, jabatan atau agensi dan syarikat Kerajaan Persekutuan berkenaan.
"Usaha murni kerajaan ini akan memberi ruang dan peluang secara langsung kepada lebih banyak Ahli-Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam proses memastikan dana kerajaan digunakan secara berhemat demi kepentingan awam yang sewajarnya," katanya.
Beliau berkata perbahasan itu juga diharap menjadi medan perbincangan berhubung langkah yang perlu diambil bagi memastikan teguran yang dibangkitkan diberi perhatian serius oleh pihak terlibat sebelum tindakan penyelesaian yang berkesan dapat diambil.
Selain itu, Azalina berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa semua menteri yang bertanggungjawab mestilah meneliti setiap teguran yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara dalam LKAN 2/2025, terutama membabitkan perkara berulang yang masih belum ditangani secara tuntas oleh pihak bertanggungjawab.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami