Corak perbelanjaan isi rumah di seluruh negara secara tidak langsung terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan COVID-19.

Kajian Jabatan Perangkaan mendapati, purata perbelanjaan isi rumah, termasuk perbelanjaan kewangan, menurun sebanyak RM3,504 atau 55 peratus berbanding perbelanjaan sebelum PKP.

Sebelum PKP, purata perbelanjaan isi rumah adalah sebanyak RM6,317 sebulan yang kini telah jatuh kepada RM2,813.

Ini termasuk perbelanjaan kewangan seperti cukai pendapatan dan cukai langsung, KWSP, PERKESO, bayaran nafkah dan pemberian kepada isi rumah lain.

Sementara itu, menurut Kajian Impak PKP Kepada Isi Rumah yang dikeluarkan menerusi laman web jabatan itu semalam, purata perbelanjaan pengguna, tidak termasuk perbelanjaan kewangan, menurun sebanyak RM1,923 (48 peratus) kepada RM2,110 bawah PKP.

Antara kategori utama yang mencatatkan penurunan terbesar adalah pakaian dan kasut (95 peratus); pengangkutan (89 peratus); restoran dan hotel (86 peratus); dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (72 peratus).

Selain itu, antara kategori lain yang turut terkesan adalah perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (71 peratus); minuman alkohol dan tembakau (65 peratus); dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (58 peratus).

Sumber: Jabatan Perangkaan

Walau bagaimanapun, pada masa yang sama perbelanjaan untuk makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 27 peratus ekoran keperluan lebih banyak bahan mentah bagi tujuan makan di rumah.

Susulan sekatan diletakkan pada kedai makan dan amalan penjarakan sosial ketika PKP, makanan dan minuman mendominasi purata perbelanjaan isi rumah dengan 44 peratus berbanding 18 peratus sebelum PKP.

Hasil kajian turut mendapati, isi rumah tidak lagi membeli barang tahan lama dan separa tahan lama sejak PKP bermula, kecuali pembelian secara dalam talian.

Penggunaan utiliti dijangka akan turut meningkat 50 peratus ketika majoriti rakyat berada di rumah sepanjang masa berbanding hanya sebelah malam sebelum PKP.

Selain itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menjadi perbelanjaan kedua tertinggi bagi isi rumah iaitu sebanyak 19 peratus daripada komposisi keseluruhan, diikuti dengan komunikasi (10 peratus).



Dari aspek kelas pendapatan, golongan T20 menunjukkan perbezaan paling ketara dalam perbelanjaan penggunaan ketika PKP iaitu penurunan sebanyak 59 peratus.

Ini diikuti oleh kumpulan M40 dengan penurunan sebanyak 48 peratus dan B40 dengan 41 peratus.



Pada 2019, sektor isi rumah menyumbang sebanyak 59.8 peratus kepada KDNK nominal negara.

Kata Jabatan Perangkaan dalam kajian terbaharu itu: “Bantuan dan suntikan kewangan dari kerajaan perlu dibelanjakan bagi merancakkan ekonomi negara.

“Kelewatan pembelanjaan wang oleh isi rumah akibat daripada PKP dan kebimbangan COVID-19 akan turut melewatkan proses pemulihan ekonomi.”