Skip to main content

Malaysia

F1: 'Ekonomi kukuh, hubungan diplomatik faktor Malaysia dipilih sebagai pengganti'

SEPANG, 22 O kt -- Perlumbaan Grand Prix Petronas Malaysia 2000 bermula di Litar F1 Sepang di sini hari ini. --fotoBERNAMA (DIGI) HAKCIPTA TERPELIHARA.
Pemilihan SIC dalam tempoh persediaan yang singkat membuktikan keupayaan serta rekod cemerlang negara dalam mengendalikan acara sukan bertaraf dunia. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keutuhan ekonomi serta hubungan diplomatik yang kukuh menjadi antara faktor utama Malaysia diberi kepercayaan untuk menjadi penganjur pengganti perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC).

Penganalisis sukan, Mohamad Faithal Hassan berkata, pemilihan SIC dalam tempoh persediaan yang singkat membuktikan keupayaan serta rekod cemerlang negara dalam mengendalikan acara sukan bertaraf dunia.

Menurut beliau, status sebagai penganjur pengganti itu membuka peluang besar kepada ekonomi negara tanpa memerlukan pelaburan atau kos penganjuran yang terlalu tinggi.

“Dari segi ekonomi, ia memberi kelebihan besar kerana kita tidak perlu mengeluarkan modal atau pelaburan yang terlalu tinggi untuk menganjurkan perlumbaan ini walaupun secara sekali sahaja.

“Ia juga berpotensi menarik kehadiran peminat F1 yang telah membeli tiket untuk menyaksikan perlumbaan di Bahrain dan beralih ke Malaysia, sekali gus mengurangkan keperluan promosi atau pemasaran secara besar-besaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Faithal berkata penganjuran perlumbaan berprestij itu bukan sahaja mampu menjana pulangan ekonomi dan merancakkan sektor pelancongan, malah turut memperkukuh kedudukan Malaysia dari sudut geopolitik.

Katanya, kesediaan negara mengambil alih penganjuran dalam tempoh singkat mencerminkan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Bahrain.

“Manfaat terbesar penganjuran ini bukan hanya kepada ekonomi dan industri pelancongan, tetapi juga kepada hubungan diplomatik Malaysia-Bahrain serta kedudukan negara di peringkat antarabangsa.

“Tambahan pula dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), penganjuran F1 yang berjaya akan memberikan impak yang sangat besar kepada imej dan daya tarikan negara,” katanya.

Beliau berkata, keupayaan Malaysia menganjurkan perlumbaan itu turut memberi kelebihan jangka panjang kerana negara tidak perlu melalui sebarang ujian penilaian atau ‘litmus test’ daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Menurutnya, perkembangan itu sekali gus mengangkat semula reputasi SIC sebagai antara litar terbaik dunia yang berupaya menjadi tuan rumah acara sukan permotoran berprestij tinggi.

Pada Ahad, Formula 1 dan FIA mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah F1 Gulf Air Bahrain GP di SIC dari 2 hingga 4 Oktober 2026, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Must Watch Video

Advertisement