Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peruntukan perbelanjaan mengurus pada Belanjawan 2014 meningkat berikutan peningkatan bayaran gaji untuk kakitangan awam.

Sejumlah RM1.23 bilion atau 66.2 peratus daripada Belanjawan Negeri tahun depan yang berjumlah RM1.85 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus sementara RM624.9 juta atau 33.8 peratus adalah bagi perbelanjaan pembangunan.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditanya para wartawan mengapa peruntukan untuk pembangunan bagi negeri ini berkurangan untuk 2014 berbanding tahun ini selepas pembentangan Belanjawan 2014 di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Selasa.

Pada Belanjawan 2013, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM996.98 juta atau 61 peratus daripada belanjawan pada tahun ini yang berjumlah RM1.63 bilion sementara peruntukan pembangunan ialah RM633 juta (39 peratus) daripada belanjawan.

Perbelanjaan mengurus pada 2014 ialah untuk perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM421.7 juta (34.43 peratus), pemberian dan kenaan bayaran tetap sebanyak RM411.8 juta (33.61 peratus), emolumen sebanyak RM370.5 juta (30.24 peratus), perbelanjaan lain RM14.6 juta (1.19 peratus) dan aset RM6.4 juta (0.52 peratus).

Abdul Khalid berkata sebenarnya tidak banyak perbezaan di antara peruntukan pembangunan untuk tahun hadapan dan tahun ini, cuma RM8.1 juta.

Dalam ucapan belanjawan kali ini, Abdul Khalid juga mencadangkan agar satu kajian bagi skim gaji, gratuiti dan elaun Speaker, Timbalan Speaker dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijalankan tetapi sebarang kenaikan wajar dilaksanakan jika mendapat persetujuan kesemua anggota dewan.