KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) meminta semua pihak agar tidak terlalu bimbang dengan angka jangkaan kehilangan hutan sepertimana yang dilaporkan oleh RimbaWatch baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPSM Datuk Mohd Ridza Awang berkata ini kerana kenyataan bahawa lebih 2.3 juta hektar hutan di Malaysia bakal ditebang dalam artikel bertajuk 'Negeri Hutan Hujan Malaysia' yang disiarkan oleh badan bukan kerajaan itu tidak tepat susulan terdapat perbezaan kefahaman.

"JPSM mendapati RimbaWatch menggunakan definisi berbeza daripada yang diguna pakai oleh JPSM atau kerajaan, khususnya definisi 'hutan' dan juga pemahaman RimbaWatch terhadap 'deforestation' serta 'perladangan hutan.'

"Malah di bawah FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian), perladangan hutan adalah antara aktiviti yang boleh dilaksanakan melalui kawalan dan amalan perhutanan yang ditetapkan.

"Perbezaan dan percanggahan ini didapati telah menyebabkan unjuran yang dibuat oleh RimbaWatch tentang keluasan kehilangan kawasan hutan di Malaysia menjadi terlalu besar hingga mencecah 2.3 juta hektar," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata Malaysia sebagai angota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sentiasa mengguna pakai kesemua ketetapan badan dunia itu malah turut melaporkan data hutan setiap lima tahun sekali menerusi pelaporan Penilaian Sumber Hutan (FRA) yang diselaraskan oleh FAO.

Katanya Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Konvensyen Kerangka PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) merupakan pelaporan data hutan berkala di bawah konvensyen antarabangsa.

Mohd Ridza berkata JPSM turut senada dengan kenyataan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Jabatan Perhutanan Sabah serta Jabatan Hutan Sarawak bahawa kerajaan komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dengan hutan dan litupan pokok.

"Komitmen itu dibuat di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992 dan sejak itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan komitmen tersebut tercapai.

"Antaranya moratorium kelulusan baharu ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun," katanya.

Selain itu, kerajaan memperkasa Akta Perhutanan Negara 1984 dengan memasukkan elemen pendengaran awam serta penggantian dan pewartaan serentak kawasan Hutan Simpan Kekal yang diwarta keluar.

Beliau berkata pada masa sama, JPSM dengan kerjasama dan sokongan kerajaan negeri serta pemegang taruh lain terus berusaha untuk mengekalkan kawasan berhutan khususnya di Semenanjung Malaysia.

"JPSM juga akan berusaha agar semua strategi dilaksanakan sejajar dengan komitmen negara bagi memastikan keseimbangan dan kemampanan pembangunan negara," katanya.

-- BERNAMA