KUANTAN: Perbezaan pendapat, perbahasan, pertukaran fikiran dan kritikan di media arus perdana atau media sosial perlu diraikan bagi memahami serta mematangkan demokrasi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

"Pada saya, kita harus mengizinkan pertukaran fikiran dan pendapat yang sihat sama ada menyokong atau tidak... dan kedua-dua pihak harus terima (pandangan itu). Kita sentiasa terbuka kepada kritikan dan pertembungan idea akan menghasilkan idea lebih segar dan baik.

"Cuma apa yang harus dielak ialah kata-kata nista dan perkara tidak sopan yang pada saya tidak menguntungkan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bengkel Usahawan Pahang: Program Pengupayaan Digital di sini hari ini.

Beliau berkata perkembangan media sosial pada masa ini melahirkan komuniti digital yang bebas menggunakan pelbagai platform untuk meluahkan pandangan.

Bagaimanapun, pandangan itu perlu diutarakan secara tertib dengan berasaskan fakta serta data dan jika berbicara mengenai politik, hendaklah berdasarkan kepada Perlembagaan, Rukun Negara dan sebagainya.

Bengkel sehari anjuran MyNIC Berhad itu berlangsung secara dalam talian dan turut hadir ialah Pengerusinya Dr Mohamed Awang Lah dan Ketua Pegawai Eksektif Datuk Hasnul Fadhly Hasan.

Saifuddin, yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang, berkata kerajaan juga terbuka kepada kritikan namun bergantung kepada 'cara individu melihat, menilai dan bertindak' dan daripada kritikan itu, ada pandangan yang boleh diterima selain wajar diberikan penerangan.

"Ini bukan soal mempertahan kerajaan sedia ada tetapi soal kestabilan yang kebetulan pada hari ini, kerajaan yang ada ialah kerajaan Perikatan Nasional yang pada saya, wajar diberi peluang untuk terus mentadbir negara pada masa ini.

"Malaysia memerlukan kestabilan termasuk kestabilan politik. Jika berlaku ketidakstabilan, ini akan mengganggu usaha yang sedang dilakukan iaitu mengawal dan menangani pandemik COVID-19 serta meneruskan kelangsungan hidup dari segi ekonomi," katanya.

Beliau juga berkata meskipun ada kritikan terhadap kerajaan namun tiada tindakan diambil di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 kerana peruntukan itu digunakan 'dengan sangat berhati-hati untuk mengatasi berita palsu' dalam menangani pandemik COVID-19.

-- BERNAMA