Perbicaraan kes rasuah: Guan Eng arah hubungi dua wakil syarikat BUCG - Bekas Exco

Hasimi Muhamad
Julai 14, 2021 09:18 MYT
Saksi ketiga berkata Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan telah memberikan nombor telefon dua individu dikenali sebagai Zarul dan Chee Hoe - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa atas empat tuduhan rasuah telah mengarahkan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menghubungi wakil syarikat Beijing Urban Construction Group (BUCG) bagi membincangkan cadangan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu, sekitar Januari 2011.
Bekas Exco terbabit yang menjadi saksi ketiga pendakwaan, Datuk Lim Hock Seng, berkata Guan Eng telah memaklumkan kepadanya bahawa syarikat BUCG sedang menerokai cadangan untuk membina terowong di negeri itu, selain bercadang membuat memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan negeri.
Beliau yang kini menjawat jawatan Ketua Seksyen Pengangkutan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang, berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari kedua prosiding perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, hari ini.
Susulan itu, saksi ketiga itu berkata Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan telah memberikan nombor telefon dua individu dikenali sebagai Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulklifi dan Datuk Lee Chee Hoe.
Zarul dan Chee Hoe adalah Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang merupakan kontraktor utama projek berkenaan.
Jelasnya lagi, pertemuan telah dibuat bagi membincangkan perancangan keempat-empat projek tersebut di Menara KOMTAR, Pulau Pinang.
"Selain itu, selepas mendapat arahan daripada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 26 Januari 2011, saya telah saya telah meminta Rajendran daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menyediakan satu kerts kerja "Perancangan Link Ketiga Pulau Pinang, Jalan Lingkaran Dalaman George Town dan Jalan Pintas, Lebuhrayaa Tun. Dr. Lim Choong EU ke Air Hitam, Pulau Pinang," katanya.
Sementara itu dalam mesyuarat MMK ke-11 pada 16 Mac 2011, Hock Seng memaklumkan bahawa pihak BUCG telah meminta supaya MoU ditandatangani dengan secepat mungkin.
Cadangan MoU telah diteliti oleh penasihat undang-undang negeri agar ia tidak mendatangkan sebarang kos kepada kerajaan negeri.
Sehari selepas mesyuarat tersebut iaitu 17 Mac, Hock Seng berkata beliau telah menghubungi wakil BUCG untuk hadir ke pejabatnya bagi menandatangani MoU.
"Wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan, Datuk Farizan Darus, manakala tandatangan pada bahagian "in the presence of" adalah tandatangan saya.
"Saya juga sahkan telah menandatangani MoU ini sebagai mewakili Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan.
"Manakala bagi pihak BUCG, saya sahkan ia adalah tandatangan milik Zarul kerana saya cam tandatangan beliau. (Bagaimanapun), di sebelah bawah bahagian kanan saya tidak pasti tandatangan siapa kerana tiada nama dicatatkan atau diminit," katanya lagi ketika membaca pernyataan saksi.
Katanya, satu lagi MoU telah ditandatangani sekitar April 2011 di Putrajaya masing-masing oleh Guan Eng yang mewakili kerajaan negeri, manakala BUCG diwakili oleh pengerusinya.
MoU tersebut adalah bagi cadangan projek pembinaan terowong sepanjang lima kilometer (km) dengan anggaran kos RM10 bilion, yang dianggarkan oleh BUCG dan akan dibiayai oleh syarikat itu.
"MoU berkenaan merupakan tanda minat syarikat BUCG untuk melaksanakan projek tersebut di Pulau Pinang. Projek itu akan dilaksanakan secara tender terbuka.
"Reka bentuk dan butir-butir akan ditentukan kemudian. Projek tersebut akan meletakkan Pulau Pinang dalam profil antarabangsa. Draf terakhir MoU tersebut dibentangkan untuk kelulusan majlis (MMK)," katanya.
BACA: Perbicaraan kes rasuah: Guan Eng ada datang rumah sekitar 2 pagi - Saksi pertama pendakwaan
BACA: Permohonan Lim Guan Eng pindah kes rasuah ke Mahkamah Tinggi ditolak
Pihak BUCG kemudian diminta membuat anggaran kos kajian kesesuaian dan reka bentuk bagi ketiga-tiga projek termasuk formula pembiayaan kos di antara BUCG.
Hock Seng turut memberitahu mahkamah bahawa 10 delegasi kerajaan negeri termasuk Guan Eng telah diberikan kelulusan untuk Lawatan Rasmi ke Beijing dari 2 Jun hingga 8 Jun 2011.
Perbicaraan bersambung esok (Khamis).
#Lim Guan Eng #kes rasuah #Perbicaraan Guan Eng #terowong dasar laut #Syarikat BUCG terowong dasar laut #Mahkamah Sesyen